KANGAR: Kadar sewa lot niaga bazar Ramadan di Perlis ditetapkan pada kadar RM300 sebulan atau RM10 sehari, sekali gus merupakan antara paling rendah berbanding negeri-negeri lain.
Ia melibatkan keseluruhan 495 lot niaga membabitkan lima bazar Ramadan di bawah selian Majlis Perbandaran Kangar (MPK) iaitu Bazar Ramadan Kangar (119 lot), Arau (220 lot), Taman Kemajuan (71 lot), Kuala Perlis (45 lot) dan Simpang Empat (40 lot).
Sambutan lot niaga bazar Ramadan tersebut sangat memberangsangkan dengan permohonan hampir penuh di semua bazar Ramadan menjelang tarikh tutup 10 Februari ini.
Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth berkata, Bazar Ramadan Kangar yang pertama kali diadakan di tapak pasar malam berhampiran pasar lama Kangar, permohonannya sudah penuh setakat ini.
Beliau berkata, pihaknya akan mempertimbangkan keperluan menambah lot niaga di situ daripada 119 sehingga 150 lot selepas tarikh tutup permohonan.
Katanya, kadar sewa tapak RM300 sebulan atau RM10 sehari itu adalah paling murah pernah ditawarkan dan tidak ada alasan untuk para peniaga menaikkan harga jualan.
“Nilai sewaan yang murah itu sebab kita tidak mahu peniaga main harga atas alasan tapak mahal, harga meningkat sekali gus bakal membebankan pengguna. Kita bagi murah (sewa tapak) sebab kita mahu peniaga menjual murah kepada rakyat. Kalau kita dapati masih ada peniaga yang ambil kesempatan, tindakan akan diambil.
“Lot biasa semuanya kita tetapkan RM300 sebulan atau RM10 sehari manakala lot bagi air tebu, kelapa dan jus buah-buahan sahaja ditetapkan RM330 sebulan.
“Kita buka permohonan sejak dua minggu lalu dan dalam masa lima hari hampir penuh.Semua lima tapak itu memerlukan lot tambahan selepas permintaan melebihi tawaran. Kita akan lihat keperluan tambah selepas tarikh tutup 10 Februari,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Affendi berkata, beliau percaya sambutan orang ramai di bazar Ramadan akan kembali seperti biasa selepas tahun lalu agak suram.
“Sebelum ini, tidak ada sambutan disebabkan mungkin ramai yang tidak tahu lokasi-lokasi bazar Ramadan ini, selain bukan kawasan tumpuan serta masalah daripada segi parkir kenderaan dan sebagainya.
“Tahun ini, lokasi-lokasi ini akan mudah daripada semua aspek khususnya kemudahan parkir dan terletak di kawasan tumpuan. Saya yakin sambutan akan menggalakkan,” katanya. – UTUSAN