Tanggungjawab guru, jurulatih pastikan persekitaran MSSM 2025 bebas mudarat

Tanggungjawab guru, jurulatih pastikan persekitaran MSSM 2025 bebas mudarat

AZMAN Adnan menyampaikan Watikah Lantikan Pengelola kepada wakil MSS Wilayah Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua pihak termasuk guru dan jurulatih kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2025 mempunyai tanggungjawab besar bagi memastikan persekitaran sukan bebas daripada sebarang kemudaratan.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, mereka perlu memastikan kejohanan yang berlangsung itu bebas daripada gangguan seksual, penderaan fizikal dan psikologi, penindasan, pengabaian, buli serta antun (grooming).

Menurut Azman, suasana sedemikian perlu diwujudkan demi pembangunan potensi atlet murid ke tahap yang optimum.

“Barisan jurulatih diseru untuk menitikberatkan aspek persekitaran dan fizikal yang selamat termasuk pencegahan bahaya fizikal dan anggota badan. Sebagai contoh, penekanan perlu diberikan kepada etika dan pengetahuan jurulatih dalam mengendalikan latihan.

“Di sini pentingnya jurulatih bawah Kementerian Pendidikan (KPM) diwajibkan untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan pengiktirafan daripada badan-badan yang berkaitan bagi memastikan atlet murid sentiasa dilindungi.

“Perkara ini adalah selaras dengan hasrat KPM untuk menyediakan persekitaran yang sihat dan selamat, saling hormat-menghormati serta bebas daripada sebarang gangguan dan penderaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Takwim MSSM 2025 di sini hari ini.

Kejohanan MSSM 2025 akan bermula pada Mei ini dan berakhir September melibatkan 14 negeri selaku pengelola 24 sukan yang dipertandingkan.

Pada masa sama, Azman turut menekankan mengenai kepentingan usaha bersepadu dalam menjayakan agenda pembangunan sukan negara.

Katanya, ini kerana kejohanan MSSM bukan sekadar pertandingan tetapi platform untuk mencungkil bakat, membentuk sahsiah dan melahirkan generasi atlet yang cemerlang.

“Dengan komitmen dan kerjasama daripada semua pihak iaitu KPM, Sekretariat MSSM, persatuan sukan, guru, jurulatih, ibu bapa dan murid, kita mampu melahirkan atlet yang bukan sahaja berjaya di peringkat kebangsaan, malah mampu mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengelolaan MSSM juga memerlukan pendekatan yang komprehensif dan bersepadu, merangkumi pelbagai aspek seperti perancangan, pelaksanaan dan penilaian.

Jelasnya, ini termasuk penambahbaikan dalam sistem pendaftaran peserta, pengurusan venue dan kemudahan, pengurusan kewangan serta sistem pengadilan yang lebih telus dan adil.

“Teknologi maklumat perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan kecekapan pengurusan, contohnya melalui sistem pendaftaran, pengurusan data dan pemakluman keputusan secara langsung secara dalam talian.

“Ini akan memudahkan proses pendaftaran, pengurusan maklumat peserta dan penyediaan laporan yang lebih tepat dan pantas. Selain itu, latihan dan pembangunan staf pengurusan kejohanan juga perlu diberi penekanan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan mereka dalam menjalankan tugas masing-masing,” katanya.

Azman berkata, kejohanan MSSM 2024 mencatatkan kejayaan membanggakan dengan penyertaan seramai 15,963 individu yang terdiri daripada 12,259 orang murid dan 3,704 orang pegawai.

“Untuk tahun ini, kita mensasarkan penyertaan yang lebih ramai berbanding tahun lepas. Ini memerlukan usaha bersepadu daripada semua pihak untuk mempromosikan kejohanan MSSM dengan lebih berkesan.

“KPM ingin memberi perhatian kepada murid yang kurang aktif supaya mereka dapat melibatkan diri dalam sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya