PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kementerian Kesihatan untuk menangguhkan peraturan yang mewajibkan paparan harga ubat di klinik swasta dan memberi fokus kepada isu lebih penting.
Presidennya, Datuk Dr. Kalwinder Singh Khaira berkata, kerajaan perlu menyelesaikan isu lama berkaitan jadual fi klinik swasta dan melaksanakan langkah-langkah bagi memastikan penjualan ubat preskripsi di farmasi serta secara dalam talian dikawal lebih ketat.
Menurut beliau, perkara tersebut perlu diusahakan dulu oleh kementerian sebelum melaksanakan peraturan wajib untuk memaparkan harga ubat tersebut.
“MMA menggesa kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan mandatori paparan harga ubat di klinik swasta yang dijadualkan tahun ini, sehingga fi konsultasi disemak dan diwartakan.
“Kami juga menggesa kerajaan untuk melaksanakan langkah-langkah bagi memastikan penjualan ubat preskripsi di farmasi dan secara dalam talian dikawal dengan ketat sebelum meneruskan dasar ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan mengumumkan bahawa fasiliti kesihatan swasta wajib memaparkan harga ubat bermula tahun ini bagi meningkatkan ketelusan, selain memastikan harga ubat tidak dinaikkan sewenang-wenangnya.
Mengulas lanjut, Dr Kalwinder berkata, penguatkuasaan dasar tersebut tanpa menyelesaikan isu fi konsultasi yang berubah sejak lebih 30 tahun lalu akan menjejaskan kelangsungan perkhidmatan penjagaan dan kesihatan primer swasta.
Malah, katanya, langkah tersebut turut mengancam kewujudan klinik swasta dan memaksa lebih ramai pesakit mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan awam yang sudah sesak. – UTUSAN