Tangani isu Laut China Selatan guna diplomasi pertahanan

Tangani isu Laut China Selatan guna diplomasi pertahanan

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : ASEAN perlu terus mengutamakan pendekatan diplomasi pertahanan dalam menangani isu Laut China Selatan bagi memastikan kestabilan serantau tidak tergugat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun kerjasama maritim pelbagai hala akan diteruskan, setiap negara sama ada anggota ASEAN atau bukan, perlu mematuhi undang-undang antarabangsa.

“Kita menekankan keperluan untuk terus terlibat dalam diplomasi, khususnya diplomasi pertahanan dalam menangani isu Laut China Selatan ini.

“Selain itu, kita turut menekankan keperluan bagi setiap negara, sama ada negara anggota ASEAN atau bukan untuk sentiasa mematuhi undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang laut dan perkara-perkara berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Sesi Pemukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di Batu Ferringhi di sini, hari ini.

Ketika ini, Laut China Selatan kekal sebagai antara wilayah yang paling dipertikaikan di dunia dengan beberapa negara termasuk China, Malaysia, Vietnam, Filipina, dan Brunei mempunyai tuntutan bertindih terhadap kawasan perairan itu.

Menurut Mohamed Khaled, Malaysia sebagai negara maritim yang dikelilingi empat lautan utama iaitu Laut Sulu, Laut Sulawesi, Laut China Selatan, dan Selat Melaka amat menitikberatkan keselamatan perairan, termasuk isu tuntutan bertindih dan sumber di kawasan terbabit.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa latihan ketenteraan yang dijalankan di rantau ini tidak seharusnya meningkatkan ketegangan atau mencetuskan konflik yang boleh menjejaskan keamanan serantau.

“Isu keselamatan maritim bukan sahaja penting kepada Malaysia, tetapi juga kepada banyak negara ASEAN lain. Ini adalah perkara yang tidak boleh kita abaikan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai isu konflik di Myanmar pula, Mohamed Khaled berkata, ASEAN berpendapat, penyelesaian krisis di Myanmar bukan melalui pendekatan ketenteraan atau pertahanan, sebaliknya menerusi diplomasi dan rundingan.

Katanya, pendekatan diplomasi menjadi fokus utama ketua kerajaan ASEAN dalam usaha mencari jalan penyelesaian terbaik bagi konflik berpanjangan di negara itu.

“Saya rasa penyelesaian di Myanmar bukan dengan cara ketenteraan atau melalui pertahanan. Ia adalah diplomasi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan bahawa terdapat permintaan daripada Setiausaha Majlis Keselamatan Rusia untuk bertemu dengan beliau dan beberapa pemimpin atasan negara. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya