JOHOR BAHRU: Kadar tambang perkhidmatan Rapid Transit System Link (RTS Link) akan ditetapkan dengan mengambil kira pelbagai faktor, termasuk perbezaan tukaran mata wang antara Malaysia dan Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutif RTS Operation (RTSO) Ptd. Ltd., Dr. Ahmad Marzuki Ariffin berkata, pengumuman itu dijangka akan dibuat kepimpinan tertinggi negara, tahun depan.
“Ada banyak proses diambil kira untuk menentukan tambang, apatah lagi melibatkan dua buah negara. Pada masa sekarang kami belum boleh kongsi apa-apa maklumat, tetapi akan diumumkan tahun depan.
“Tetapi perbezaan mata wang akan diambil kira, sama ada tambang hanya dalam ringgit Malaysia atau dolar Singapura atau kedua-duanya, akan dimaklumkan kelak,” katanya pada sesi taklimat kepada media di Menara JLand, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Projek RTSO, Zahrin Abd. Gani.
Ahmad Marzuki turut memaklumkan kerja-kerja sistem rel RTS Link yang menghubungkan Malaysia dan Singapura telah mencapai tahap kemajuan sebanyak 50 peratus.
“Sementara itu, pemasangan kerja landasan di Depoh Wadi Hana berjalan mengikut jadual dengan lebih 65 peratus kerja telah siap melibatkan pemasangan pengalas landasan, landasan rel serta kerja mengikat kedua-dua komponen.
“Kami jangka kerja landasan dapat diteruskan ke arah Stesen Woodlands North di Singapura dan dijangka siap Julai ini. Bermula Mac ini, kerja pemasangan komponen pembekal kuasa landasan, sistem isyarat dan komunikasi akan bermula,” katanya.
RTS Link adalah rangkaian kereta api ulang-alik sepanjang empat kilometer yang menghubungkan dua stesen, iaitu Bukit Chagar, di sini dan Woodlands North, Singapura.
Apabila siap kelak, RTS Link mampu membawa kira-kira 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap hala dengan jangkaan kira-kira 40,000 penumpang akan menggunakan perkhidmatan itu sehari. – UTUSAN