GOMBAK: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan perkhidmatan tambang percuma selama dua hari bermula Isnin depan bersempena sambutan Thaipusam.
Kemudahan itu ditawarkan kepada penumpang KTM Komuter Lembah Klang yang akan beroperasi selama 24 jam bagi tempoh empat hari bermula Ahad ini menggunakan mekanisme imbasan keluar melalui pintu automatik (ACG).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkhidmatan bagi laluan Pelabuhan Klang-Tanjung Malim-Pelaburan Klang akan diubah dan beroperasi mengikut jadual perjalanan penuh sepanjang sambutan berkenaan.
Katanya, KTM menyediakan perkhidmatan tambahan KTM Komuter yang akan beroperasi selama 24 jam selama empat hari tiga malam bermula dari 9 sehingga 12 Februari.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan perkhidmatan tambahan yang disediakan sepanjang tempoh tersebut adalah sebanyak 118 perjalanan menjadikan jumlah keseluruhannya 494.
“Sebagai inisiatif kerajaan untuk menjadikan sambutan Thaipusam lebih bermakna, Kementerian Pengangkutan melalui KTMB dengan sukacitanya mengumumkan pemberian tambang percuma kepada penumpang KTM Komuter Lembah Klang.
“Dijangka, seramai 500,000 pengguna akan memanfaatkan perkhidmatan ini yang mencatat peningkatan 10 peratus berbanding tahun lepas, dengan kemuncak perjalanan dijangka pada 11 Februari sempena Hari Thaipusam dan pemberian tambang percuma,” katanya di sini, hari ini.
Secara terperinci, operasi tren tambahan meliputi 33 perkhidmatan laluan Batu Caves-Pulau Sebang-Batu Caves, 45 perkhidmatan laluan Batu Caves-Pelabuhan Klang-Batu Caves, 28 perkhidmatan laluan KL Sentral-Batu Caves-KL Sentral, enam perkhidmatan laluan Batu Caves-Bangi-Batu Caves, tiga perkhidmatan laluan Batu Caves-Sentul dan tiga perkhidmatan laluan Batu Caves-Subang Jaya.