KUANTAN: Jumlah pasukan rondaan perlu ditambah bagi menjalankan pemantauan di Tasik Bera yang merupakan Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) pertama Malaysia dalam usaha memastikan isu penerokaan haram dan pengambilan hasil hutan serta ikan tasik yang berlebihan dapat dihentikan.
Presiden Persatuan Ekologi Malaysia (PEM), Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, salah satu kaedah melindungi tapak Ramsar adalah melalui pemantauan kawasan berkaitan dan mengenal pasti lokasi-lokasi sensitif misalnya yang berkaitan dengan hidupan liar, ikan, kualiti air, penebangan hutan dan guna tanah.
“Bagi aktiviti pemantauan tapak Ramsar, pihak pengurusan tapak terbabit mesti mempunyai pasukan rondaan yang cukup, berpengetahuan dan mempunyai kemudahan rondaan yang sesuai.
“Lima agensi kerajaan terlibat iaitu Jabatan Perlindungan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Perhutanan, Jabatan Perikanan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mesti bekerjasama menyumbang kepakaran dan peranan masing-masing bagi menyelesaikan isu pemuliharaan Tasik Bera.
“Oleh kerana Tapak Ramsar adalah kawasan hutan yang dilindungi, maka memerlukan cukup pegawai daripada Jabatan Perhutanan di samping pegawai jabatan lain yang terlibat dalam membuat rondaan dan menguatkuasakan undang-undang. Semua pegawai terbabit mesti faham tentang tapak Ramsar yang mempunyai kepentingan antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Semalam, Mingguan Malaysia melaporkan, Tasik Bera kini berada di ambang kerosakan dan ekosistem semula jadi yang berharga ini, perlu dipulihkan untuk memastikan ia tidak lenyap dari peta alam sekitar negara serta bagi memastikan tasik semula jadi itu tidak ‘nazak’ dan musnah keseluruhan ekosistemnya seperti Tasik Chini.
Ismail berkata, selain pegawai jabatan kerajaan, penduduk tempatan juga boleh terlibat dalam aktiviti rondaan.
“Pasukan renjer dalam kalangan Orang Asli etnik Semelai yang layak boleh dilantik. Mereka yang mewakili semua kampung boleh dilatih dan membantu pihak pengurusan tapak Ramsar.
“Program pendidikan dan kesedaran juga perlu diadakan secara berterusan, melibatkan semua peringkat penduduk tempatan. Ada antara mereka boleh menjadi ‘saintis warga’ yang boleh membantu pemuliharaan Tasik Bera dan melaporkan apa apa isu yang berlaku di tasik itu kepada pihak berkuasa,” katanya.
Menurutnya, selain itu, Tapak Ramsar mungkin perlu mempunyai tabung amanah bagi membantu program rondaan dan pihak korporat boleh menyumbang kepada tabung berkenaan.
“Satu lagi program pemulihan kawasan terosot secara sistematik dengan menanam pokok-pokok yang sesuai dan mempunyai kepentingan kepada penduduk tempatan dan ekosistem tasik semulajadi ini,” katanya. –UTUSAN