KUALA LUMPUR: Pelakon, Syafiq Kyle, 32, mengakui tiada niat mahu merahsiakan tarikh pernikahannya bersama aktres, Mimi Lana, 30 yang berlangsung pada 14 Februari lalu.
Kata Syafiq, kejutan yang dibuat pada tarikh berkenaan hanya sekadar untuk memenuhi dan menghormati permintaan keluarga kedua-dua belah pihak.
“Bagi saya, segala persiapan menuju hari pernikahan dilakukan berdasarkan keperluan saja. Setiap keputusan dibuat atas persetujuan keluarga. Saya menghormati keputusan keluarga Mimi, dan mereka juga menghormati keluarga saya.
“Perkara ini turut dibincangkan bersama pengurus dan kami sepakat untuk mengumumkan pernikahan pada hari berlangsungnya majlis. Itu adalah keputusan yang terbaik,” katanya.
Syafiq mengulas perkara tersebut ketika ditemui di majlis tayangan perdana episod akhir Gadis Masa di Hotel Aloft, malam tadi.
Syukur segala urusan pernikahannya berjalan dengan lancar, Syafiq juga sempat menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa mendoakan mereka.
“Alhamdulillah, doa anda semua yang sentiasa mengiringi saya dan Mimi akhirnya membawa kami ke jenjang pelamin. Terima kasih kerana sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kami.
“Kami ada merancang untuk membuat majlis resepsi di Kuala Lumpur. Tetapi itu masih dalam perbincangan lagi kerana kami berdua sibuk bekerja,” katanya.
Genap tiga minggu berkahwin, Syafiq bagaimanapun mengakui kesibukan bekerja merupakan antara faktor dia dan Mimi belum sempat bercuti.
Kata Syafiq, dia merancang untuk bercuti bersama isteri tercintanya itu selepas menyambut hari raya Aidilfitri.
“Buat masa ini, kami berdua sibuk dengan komitmen masing-masing dan belum sempat bercuti. Sebelum ini, kami hanya menghabiskan masa di Taiping dan sekarang bulan Ramadan pula tiba. Insya-Allah, selepas Aidilfitri, kami akan meluangkan masa untuk bercuti,” jelasnya.
Pada 14 Februari lalu, Syafiq dan Mimi telah melangsungkan pernikahan mereka di Taiping, Perak dalam sebuah majlis tertutup.