BANGI: Perdana Menteri menegaskan bahawa beliau tidak perlu terlibat dalam perbincangan mengenai penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang kerana telah memberi mandat itu kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Anwar berkata, sudah dua tahun lebih pembangkang berdolak dalih mengenainya sedangkan pihak kerajaan tidak ada sebarang masalah.
Beliau menambah, kerajaan sudah beri mandat penuh kepada Fadillah untuk berbincang dengan ahli pembangkang.
“Tak payah saya sendiri(jumpa pembangkang), saya nak jumpa mereka secara berasingan tidak mengapa tetapi memang mandat diberikan oleh semua jemaah menteri dan semua parti dalam kerajaan Madani.
“Saya rasa benda ini jangan dihebahkan di luar, Mereka sebelum apa-apa pun sudah tuduh kita paksa untuk sokong Perdana Menteri, tidak ada langsung syarat yang dikemukakan dalam rundingan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Permukiman Jemaah Menteri Kerajaan MADANI 2025, di sini hari ini.
Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, menyarankan pembangkang berunding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen mereka.
Beliau turut menegaskan bahawa keputusan tersebut adalah hak Perdana Menteri dan bukan bidang kuasa Dewan Rakyat.-UTUSAN