Tak penatkah saling ‘bertikam’? - Utusan Malaysia

Tak penatkah saling ‘bertikam’?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUJUR ya, setiap kali ada sesi balas membalas, pergaduhan dan bertikam papan kekunci di media sosial, Poklip tertanya-tanya apa yang para peminat, pejuang dan pembenci dapat dengan menjatuhkan orang lain?

Adakah artis yang dijunjung akan terus mendapat sokongan? Adakah setiap ‘penghinaan’ yang dilontarkan menambah jumlah baki dalam akaun masing-masing? Dan adakah para artis menghargai usaha menjatuhkan artis lain?

Poklip tidak rasa itu, cuma mungkin kepuasan dalam menghentam dan meruntuhkan semangat orang lain itu lebih nikmat. Adakah itu yang membuatkan masih ada sekelompok peminat beberapa artis bergaduh sesama sendiri?

Tidak perlu Poklip sebut nama, rasanya sudah tahu siapa. Selepas sebuah acara hiburan melabuhkan tirai baru-baru ini, belum sempat meraikan pemenang , sudah ada percanggahan kasar di media sosial.

Baik ‘peminat’ Aina Abdul, Ernie Zakri hatta yang diheret sama, ‘peminat’ Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Ada apa yang tidak kena dengan sekolompok mereka yang mengaku peminat ketiga-tiga artis ini?

Hendak dibiarkan, semakin melarat. Penghinaan yang ditabur boleh membawa fitnah. Maka sekali lagi Poklip bertanya, anda dapat apa? Macam-macam yang diaibkan di media sosial oleh sekolompok pembenci ini.

Baik Siti Nurhaliza, Aina dan Ernie, masing-masing sudah bersuara sehingga  bayangkan, adegan mereka berpelukan di atas pentas juga dijadikan bahan bualan seolah-olah ada perseteruan yang berlaku.

Itu belum lagi pengumuman kemasukan kelompok konon peminat Nadeera pula. Sudahnya, dari perseteruan tiga penjuru, terus jadi empat penjuru. Lagi soalan serius, kalian tidak penatkah?

Sedangkan Poklip tahu, antara Aina dan Ernie, persahabatan dan semangat kewanitaan itu lebih menebal berbanding keinginan untuk menang. Iya, kecewa tetapi itu tidak akan membunuh persahabatan.

Namun yang kelakarnya, sedang dua artis ini berpelukan, ada segelintir mereka yang bangga mengaku peminat mula menabur benih kebencian. Menimbulkan rasa marah lantas mula bergaduh di media sosial.

Poklip tahu, Ainations dan Ernienators sejati tidak akan sesekali menjatuhkan nama baik artis kesayangan mereka. Menang sama dirai, kalah sama diratapi. Tetapi bukan untuk bergaduh, sebaliknya untuk terus berjuang.

Tambah geletek di perut apabila entah dari mana, muncul pula kelompok mengaku Sitizoners yang menambah garam di luka. Siti Nurhaliza tidak bertanding pun di pentas acara hiburan baru-baru ini, buat apa diusik?

Poklip banyak kali menyertai majlis Sitizoners dan Poklip berani cakap, mereka saling menghormati dan merayakan artis lain. Siti Nurhaliza juga di liga berbeza, tidak perlu ada yang cuba melagakan.

Sayangnya Siti Nurhaliza kepada penyanyi wanita lain terutama generasi pelapis ini cukup kelihatan. Baik untuk Aina, Ernie dan Nadeera. Masing-masing pernah bekerjasama dan menunjukkan hormat antara satu sama lain.

Apa kata mereka yang mengaku peminat sedangkan pembenci ini insaf? Cuba renung dan tanya diri sendiri, aku dapat apa ya? Raikan sahaja siapa pun pemenang. Raikan sahaja pejuang industri seni kita.

Poklip ‘takut-takut’ juga untuk bercakap tentang kelompok yang berselindung di balik akaun palsu ini. Bukan apa, sebab mereka konon rasa dilindungi di sebalik akaun dan gambar palsu itu.

Sedangkan kalian juga tahu, semudah ABC sahaja kan kita boleh jejak siapa pengguna akaun tersebut? Cuma itulah, malas hendak layan langau-langau berkelakuan ganjil itu. Buang masa. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya