PETALING JAYA: Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan sementara seorang aktivis hak asasi manusia, baru-baru ini disifatkan sebagai cubaan menyekat kebebasan bersuara.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu dilihat sebagai percubaan mendiamkan kebebasan bersuara serta menakut-nakutkan keluarga tahanan yang mengadakan perhimpunan anti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di luar Penjara Sungai Buloh.
Katanya, perhimpunan aman dan kebebasan bersuara adalah asas kepada hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Universal Declaration of Human Rights.
“Sebarang tindakan yang menyekat atau mengganggu hak-hak ini adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip hak asasi manusia,” katanya hari ini.
Sebelum ini, beberapa portal berita melaporkan Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Sevan Doraisamy, ditahan polis atas dakwaan menceroboh kawasan larangan di Kementerian Dalam Negeri.
Bagaimanapun, ia dinafikan PDRM yang menjelaskan bahawa polis hanya merekod keterangan Sevan berhubung dakwaan masuk ke bangunan kementerian di Putrajaya pada 10 Februari lalu, tanpa pas.
Suhakam berkata, walaupun polis sudah menjelaskan bahawa aktivis hak asasi manusia itu hanya dipanggil untuk memberi keterangan dan tidak ditahan, namun pihaknya tetap menegaskan bahawa tindakan sedemikian boleh dilihat sebagai satu bentuk intimidasi.
“Suhakam mempertahankan hak keluarga tahanan Sosma untuk berhimpun secara aman di luar Penjara Sungai Buloh sebagai tanda solidariti terhadap orang tersayang yang ditahan di bawah Sosma,” katanya.
Tambah kenyataan itu, Suhakam menuntut pihak berkuasa menghormati hak untuk menyuarakan kebimbangan mereka dan memastikan tiada sebarang intimidasi atau gangguan berlaku.
Dalam pada itu, katanya Suhakam memuji kerajaan atas pengumuman terbaru oleh Perdana Menteri dalam sidang Dewan Rakyat pada 13 Februari lalu mengenai cadangan pindaan terhadap Akta Perhimpunan Aman 2012.-UTUSAN