Tabung wakaf pembangunan semula Gaza digerak seluruh negara

Tabung wakaf pembangunan semula Gaza digerak seluruh negara

MOHD. Na'im Mokhtar ketika melancarkan program Ihya’ Ramadan peringkat kebangsaan di Putrajaya. -UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia disaran menyumbang kepada tabung wakaf pembangunan semula Gaza, Palestin yang kini digerakkan di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ia penting bagi mendapatkan dana untuk pembinaan semula hospital, sekolah dan masjid di negara itu.

Beliau berkata, pihaknya menyambut baik usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersetuju mengerakkan pembangunan semula Gaza dan meluncurkan tabung wakaf itu pada Isnin lalu.

“Perdana Menteri telah sebut secara khusus Malaysia dipertanggungjawabkan untuk melihat semula pembinaan hospital, masjid dan juga sekolah. Ini adalah merupakan tiga perkara yang dipertanggungjawabkan kepada Kerajaan Malaysia.

“Saya mengajak semua masyarakat Islam dan bukan Islam untuk menyumbang kepada tabung wakaf pembangunan semula Gaza ini,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan program Ihya’ Ramadan peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri akan dilibatkan dalam usaha pembangunan semula Gaza dengan tabung wakaf berkenaan.

Mohd Na’im berkata, beliau yakin satu jumlah besar akan dikutip bagi membantu penduduk di Gaza.

Menurutnya, secara umumnya, tiga jawatankuasa dibentuk di bawah Jawatankuasa Induk Pembangunan Semula Gaza yang dipengerusikannya merangkumi kerjasama dengan NGO.

“(Setakat ini) rakyat masih lagi terus untuk menyumbang dalam tabung tersebut dan nanti bila kita dapat satu jumlah itu saya akan mengumumkan (jumlah dana terkumpul tabung wakaf itu),” katanya.

Katanya, selain Gaza, tumpuan turut diberikan bagi membantu Universiti Al-Quds di Baitulmaqdis selaras hasrat disuarakan Imam Masjid Al-Aqsa Sheikh Dr Ekrima Sa’id Sabri baru-baru ini.

Sebelum ini, Anwar berkata, Malaysia akan menggerakkan usaha untuk membina sebuah sekolah, hospital, dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung penduduk Palestin.

Perdana Menteri berkata, usaha itu akan direalisasikan dengan menggembleng sinergi dan kerjasama daripada semua pihak, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), NGO, sektor korporat dan swasta serta seluruh rakyat.

Isnin lalu, Anwar turut mengumumkan Malaysia akan menyediakan bantuan khusus bagi sektor pendidikan dan kesihatan di Baitulmaqdis, Palestin selain pemulihan di Gaza. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya