SEOUL: Bekas anggota Big Bang, T.O.P, menafikan khabar angin yang kononnya dia bakal menyertai semula kumpulan itu.
Jurucakap penyanyi dan pelakon itu memberitahu media tempatan bahawa T.O.P atau Choi Seung-Hyun tetap dengan pendiriannya tidak kembali bersama Big Bang.
“Pendirian beliau mengenai Big Bang sama seperti yang beliau nyatakan dalam wawancara sebelum ini,” katanya.
Spekulasi berkenaan bertiup kencang sebelum ini apabila nama T.O.P disenaraikan dalam Youtube rasmi Big Bang.
Dalam sidang media drama Squid Games 2 sebelum itu, T.O.P menegaskan dia tidak akan kembali dan merasakan sudah tidak sesuai bersama Big Bang.
“Selepas tamat latihan ketenteraan, saya putuskan untuk keluar (Big Bang) kerana tidak lagi mahu membawa masalah kepada kumpulan itu.
“Saya pilih untuk tamatkan kontrak dengan kumpulan itu selepas projek Still Life selesai.
“Saya malu untuk kembali kepada Big Bang dan enggan membebankan mereka.
“Setidaknya, saya boleh perbetulkan kesilapan lama dengan bergerak secara solo,” katanya.