KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa kos untuk melatih setiap seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 masih mahal.
Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan berkata, kos untuk melatih PLKN 1.0 dan 2.0 mencapai RM11 bilion dan anggaran kos untuk setiap seorang pelatih pula sebanyak RM11,000.
Menurut beliau, walaupun kos PLKN 3.0 sudah diturunkan kepada RM5,000 tetapi ia masih mahal selepas mengambil kira tempoh dan lokasi latihan.
“RM11,000 boleh diguna untuk memberikan tujuh laptop berkualiti bagi setiap mahasiswa terlibat atau melatih mereka di hotel empat bintang. Saya dengan Igan yang berada dalam jawatankuasa khas mendengar taklimat PLKN 3.0, di mana mereka kata kos sudah disetengahkan iaitu RM5,000.
“RM5,000 ini tidak lagi menggunakan kem swasta tetapi kem tentera dan tempoh latihan dari 90 hari sudah diturunkan kepada 45 hari. Realitinya kos (PLKN 3.0) jauh lebih tinggi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut mempertikai silibus PLKN 3.0 kerana dakwanya tidak mencerminkan latihan ketenteraan sebenar.
“Saya persoalkan apakah yang akan dimasukkan dalam kursus ketenteraan (yang) 70 peratus. (Mereka kata) akan melatih Kem Kerjaya Madani, latihan pengisian Madani, pemahaman mengenai HIB dan AIDS.
“Saya graduan Maktab Tentera Diraja, saya tidak pernah sangka satu hari saya akan melihat kursus tentera, mereka masukkan tentang ini. Saya tidak kata ia tidak baik (tetapi) tidak boleh kita campur adukkan,” katanya. – UTUSAN