GERIK: Syarikat milik kerajaan (GLC) dan swasta perlu bersama menyediakan tuisyen kepada anak-anak luar bandar dan anak golongan B40 untuk membantu mereka layak memasuki Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, berdasarkan pengalamannya sejak memegang jawatan tertinggi MARA, beliau mendapati peratusan anak B40 yang lulus Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) amat rendah.
Katanya, tanpa kelulusan UKKM amat sukar untuk memasuki MRSM kerana kualiti kelayakan tidak boleh dikompromi.
“Bantuan oleh syarikat korporat ini adalah satu bentuk intervensi kepada murid-murid di sekolah rendah, terutamanya Darjah Enam agar dapat dipersiapkan dengan bengkel atau tuisyen khas untuk menghadapi peperiksaan seperti UKKM,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Program Back To School Yayasan Axiata 2025 dengan kerjasama Yayasan Pelajaran MARA (YPM) di sini hari ini.
Jelasnya, usaha itu supaya anak-anak luar bandar dan B40 tidak mengalami kejutan budaya untuk menjalani UKKM setelah peperiksaan besar berpusat seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan.
Asyraf Wajdi pada Isnin lalu diberikan mandat untuk kekal sebagai Pengerusi MARA bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Mac depan akan setelah memegang jawatan itu sejak Mac 2023.
Mengenai pelantikan itu, beliau juga yang merupakan Setiausaha Agung UMNO berkata, masih banyak yang perlu dilakukan untuk membangunkan pendidikan dan keusahawanan orang Melayu dan bumiputera.
“Saya akan pergi ke semua 57 buah MRSM dan institut pendidikan MARA yang lain kerana saya bertanggungjawab untuk memastikan setiap sen duit rakyat benar-benar dibelanjakan dengan efektif,” katanya.
Dalam majlis yang dihadirinya, beliau menyaksikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat oleh Yayasan Axiata untuk membantu 900 murid dan pelajar dari segi persediaan peralatan persekolahan.
Kawasan pengagihan fasa pertama ialah di Gerik dan Pengkalan Hulu Perak membabitkan 450 orang penerima manakala fasa kedua di Bentong, Pahang. – UTUSAN