IPOH: Syarikat bas digalak memohon permit tambahan bagi perkhidmatan bas ekspres sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri pada hujung bulan depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, permohonan permit tambahan itu bagi memastikan perkhidmatan bas mencukupi dan dapat menampung peningkatan penumpang yang pulang ke kampung halaman pada musim perayaan.
Katanya, pada masa sama, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) termasuk Perkhidmatan Elektrik Train Service (ETS) akan menambah tiket bagi menampung permintaan ramai.
“Semua syarikat-syarikat bas digalakkan untuk memohon permit tambahan atau lesen permit sementara dan kita memang akan memberikan kelulusan untuk perjalanan tambahan.
“Begitu juga dengan KTMB dan ETS, mereka juga akan menambah perjalanan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran SBST BAS.MY Ipoh di Dewan Bandaraya Ipoh, di sini hari ini.
Tahun lalu, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) meluluskan 218 bas tambahan setakat 29 Mac melalui permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) Perayaan bagi menampung permintaan tiket yang tinggi untuk pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri.
Pada masa sama, KTMB pula menyediakan sebanyak 15,120 tiket tambahan termasuk tren ekspres dengan menawarkan 1,260 tiket sehari.
Tambahan tiket itu turut melibatkan enam perkhidmatan ETS dari 4 April hingga 15 April, menjadikan keseluruhan tiket ETS yang ditawarkan termasuk tren biasa dan tambahan adalah 135,000 tiket. – UTUSAN