Suspek tipu urus niaga durian dituduh esok

Suspek tipu urus niaga durian dituduh esok

HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki penganggur yang dipercayai terlibat dalam pelbagai kes penipuan di beberapa negeri, termasuk dalam urusan perniagaan durian didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Selangor esok.

Suspek berusia 31 tahun itu sebelum ini telah ditangkap oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor pada 1 Januari lalu selepas disyaki terlibat dalam penipuan membabitkan jual beli kereta lelong Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang tidak wujud serta menyamar sebagai pihak berkuasa bagi membebaskan tahanan lokap.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek dipercayai melakukan pelbagai taktik penipuan, termasuk menawarkan lelongan kenderaan JPJ dan Kastam, menipu dalam urusan pajak gadai serta menipu wanita dengan berkenalan dan berjanji untuk berkahwin.

“Hasil siasatan mendapati suspek telah dituduh di mahkamah bagi tiga kertas siasatan sebelum ini. Pada 16 Januari lalu, dia dihadapkan ke Mahkamah Klang di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan mengaku salah dengan bayaran denda.

“Pada 17 Januari, dia dituduh di Mahkamah Gombak di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan turut mengaku salah serta membayar denda. 

“Kemudian, pada 24 Januari, suspek dituduh sekali lagi di Mahkamah Klang di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, di mana dia mengaku salah dan kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kuala Kubu Bharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek juga didapati terlibat dalam kes sama di Kedah, Negeri Sembilan dan Johor, selain kes penipuan perniagaan durian yang akan dibicarakan esok.

Sehubungan itu, Hussein mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap tawaran jual beli yang kelihatan mencurigakan, sama ada secara bersemuka atau dalam talian.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai untuk membuat semakan dan pengesahan dengan agensi berkaitan sebelum melakukan sebarang transaksi bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya