KUANTAN: Suspek kes pembunuhan seorang peniaga wanita yang ditemukan meninggal dunia di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, di sini, ditahan direman selama tujuh hari sehingga 21 Februari ini.
Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Jenayah, Nor Izzati Zakaria, sekitar pukul 2 petang ini. Permohonan reman dikemukakan oleh polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Suspek dilihat hadir ke Mahkamah Majistret di sini dengan diiringi polis dengan mengenakan baju kemeja T bertulisan ‘sunset to sunrise’ dan berkain pelikat.
Sebelum itu, suspek yang berusia 53 tahun ditahan polis sekitar pukul 5.30 pagi ini di sebuah rumah, kawasan perumahan Wakaf Tembusu Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu.
Terdahulu media melaporkan seorang wanita yang merupakan peniaga makanan maut dipercayai dibunuh sebelum mayatnya ditemukan di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, kelmarin.
Mangsa, Norshamira Zainal,37, yang menjalankan urus niaga hantaran (COD) makanan dipercayai dipukul dengan objek keras sebelum mayat mangsa diletakkan di tepi Sungai Kuantan.
Mayat mangsa kemudian ditemukan sekumpulan lelaki termasuk suami dan bapa mentua mangsa yang datang mencari sebelum laporan polis dibuat. – UTUSAN