KUANTAN: Polis mengesahkan gelang emas milik mangsa pembunuhan kejam, Norshamira Zainal, 37, digadai suspek di sebuah kedai pajak gadai di Terengganu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, bagaimanapun jumlah sebenar nilai gadaian gelang emas itu masih dalam siasatan.
Katanya, dalam tangkapan sebelum ini, polis merampas beberapa barangan berkaitan kes termasuk sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan dokumen yang dipercayai boleh membantu siasatan.
“Setakat ini, nilai dan anggaran berat emas yang digadai belum dapat dipastikan. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti jumlah sebenar barang kemas yang digadai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Mohd. Zahari berkata, proses merakam keterangan suspek dan beberapa saksi utama bermula hari ini sebaik sahaja mahkamah membenarkan perintah reman semalam.
“Selepas semua prosedur selesai, kenyataan terperinci tentang kes ini akan diumumkan,” katanya.
Terdahulu media melaporkan polis menahan seorang lelaki berusia 53 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan perumahan Wakaf Tembusu, Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu kira-kira pukul 5.30 pagi semalam.
Majistret Mahkamah Jenayah, Nor Izzati Zakaria kemudiannya membenarkan permohonan reman selama tujuh hari hingga 21 Februari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN