SEREMBAN: Seorang suri rumah dijatuhkan hukuman denda RM8,000 di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki sebutir peluru jenis 9MM di hadapan sebuah premis perniagaan di daerah ini, Isnin lalu.
Majistret, Syed Farid Syed Ali membuat keputusan berkenaan selepas tertuduh, K. Biruntah Vatti, 25, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara bersama dengan suaminya, V.J Velavan, 29.
Bagaimanapun, Velavan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut serta memohon untuk dibicarakan.
Syed Farid turut menetapkan hukuman penjara enam bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, telah didapati dalam milikan pasangan suami isteri berkenaan, sebutir peluru jenis 9MM berwarna keemasan jenama Luger tanpa satu lesen senjata atau permit senjata yang sah.
Perbuatan itu telah dilakukan di hadapan sebuah premis perniagaan di Jalan Temiang, kira-kira pukul 7 petang, 17 Februari lalu.
Oleh itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Pasangan suami isteri berkenaan sebelum itu turut berhadapan dengan pertuduhan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39 A (1) di bawah akta yang sama dan di baca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Majistret kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 ke atas pertuduhan memiliki dadah tersebut bagi setiap tertuduh dan tarikh sebutan semula kes pada 21 Mac ini. – UTUSAN