Super Genius bantu pelajar tingkatkan dalam pendidikan

Super Genius bantu pelajar tingkatkan keupayaan intelektual

PESERTA program Super Genius tekun menjalani sesi latihan modul yang diperkenalkan dua pensyarah universiti di Tanjung Malim, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelbagai inisiatif dan usaha diperkenalkan dalam melahirkan pelajar yang cemerlang dan berkeperibadian mulia seperti yang dihasratkan menerusi Falsafah Pendidikan Negara .

Usaha tersebut bagi membolehkan pelajar bukan sahaja camerlang dalam bidang akademik tetapi juga mempunyai peribadi yang mulia dan sahsiah yang cemerlang.

Berdasarkan kepada hasrat ini lah usaha dilakukan dua pensyarah universiti terkemuka negara telah merangka satu program khas iaitu Super Genius yang bertujuan membantu golongan kanak-kanak dan remaja meningkatkan potensi minda agar keupayaan kognitif terutamanya intuisi diri dapat dioptimumkan.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, Dr. Nor Junainah Mohd. Isa berkata, program itu merangkumi pendekatan senaman minda dan terapi muzik yang berfrekuensi khusus.

 

“Super Genius merangsang keseimbangan keupayaan pemikiran, peningkatan tumpuan, daya ingatan, kreativiti serta pemantapan kefahaman dalam pembelajaran.

“Matlamat program ini ialah membimbing setiap peserta menjadi individu yang cemerlang, seimbang dan mengoptimumkan potensi dalam kehidupan.

“Selain fokus kepada aspek kecerdasan intelektual, ia dilengkapi modul me­man­tap­kan sahsiah dan kecerdasan emosi murid seperti kesedaran diri melalui analisis pemikiran, perasaan dan tingkah laku, pengurusan tekanan melalui terapi alam, pengurusan masa dan modifikasi tingkah laku,” katanya kepada Utusan Pelajar baru-baru ini.

 

 

Super Genius dicetuskan oleh pakar motivasi dan pensyarah kanan Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor, Prof. Madya Dr. Mohd Yazid Mohd Yunus.

 

Ia turut dibantu fasilitator yang merupakan pelajar pasca siswazah UPSI iaitu Mohd Hafiz Ahmad Zaidi, Muhammad Nurshafwan Zulkifli, Amiruddin Jamaluddin dan Ahmad Ridzuan Midan.

Menurut Nor Junainah, program itu telah memberi manfaat kepada 16 buah sekolah menengah dan maahad tahfiz di seluruh Perak dan Selangor.

“Menerusi program ini, pelajar-pelajar tahfiz institusi agama itu memaklumkan mereka lebih mudah menghafal al-Quran selain membantu konsentrasi dan tumpuan yang mendalam, daya ingatan yang tajam dan peningkatan dalam kemampuan kognitif mereka.

“Kaedah yang digunakan membantu murid mengingati ayat-ayat suci dengan lebih berkesan, mengurangkan tekanan semasa menghafal dan memperbaiki konsentrasi serta fokus semasa pembelajaran.

Pihaknya bekerjasama rapat dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) untuk meningkatkan daya hafalan dan keyakinan pelajar tahfiz.

Fokus utama adalah membantu murid-murid sekolah agama khususnya di Perak dan Selangor sebelum dikembangkan di sekolah kerajaan dan instisusi pengajian tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Yazid berkata, terapi muzik yang digunakan untuk program Super Genius untuk merangsang kelenjar pineal atau otak tengah biasanya melibatkan frekuensi khas seperti binaural beats, gelombang alpha dan theta, serta frekuensi solfeggio (contohnya 432Hz atau 528Hz).

Muzik tersebut direka untuk merangsang otak dalam keadaan relaks tetapi tetap fokus, membantu menyelaraskan aktiviti kedua-dua hemisfera otak (kanan dan kiri). Ini kerana apabila seseorang mendengar muzik dengan kekerapan tertentu, ia boleh mencetuskan kesan sinkronisasi otak, yang membantu meningkatkan intuisi, daya tumpuan, dan kepekaan deria.

Katanya, kelenjar pineal bertindak sebagai jambatan antara otak kiri dan kanan. Apabila ia diaktifkan melalui terapi muzik yang betul, seseorang mungkin mengalami peningkatan kepekaan deria seperti keupayaan mengenal warna dengan mata tertutup, daya ingatan lebih kuat, serta pemikiran yang lebih kreatif dan pantas.

Dalam masa yang sama, kelenjar pineal yang terletak di tengah otak juga boleh dirangsang melalui frekuensi tertentu, terutamanya frekuensi theta yang dikaitkan dengan meditasi mendalam.
Kelenjar pineal bertanggungjawab menghasilkan melatonin, hormon yang mengawal tidur dan kesedaran minda.

Apabila kelenjar ini aktif, ia boleh membantu seseorang mencapai tahap ketenangan yang lebih mendalam, meningkatkan daya imaginasi, dan membangunkan potensi minda bawah sedar.

“Jenis muzik alami untuk merangsang kelenjar pineal termasuk bunyi air mengalir yang merangsang gelombang alpha dan theta untuk ketenangan, bunyi hutan dan burung berkicau yang meningkatkan imaginasi dan keseimbangan otak, serta bunyi hujan dan guruh yang membantu ketenangan dan merangsang pengeluaran melatonin manakala frekuensi solfeggio (432Hz, 528Hz) membantu menyelaraskan tenaga tubuh dan rangsangan minda bawah sedar.

“Pendekatan terapi muzik berperanan untuk ketenangan minda dan peningkatan fokus yang membantu pelajar tahfiz dalam proses hafalan al-Quran.

“Elemen psikologi turut digunakan bertujuan membantu murid meningkatkan fokus, daya tahan mental serta kebolehan hafalan secara lebih efektif,” katanya.

Dalam pada itu, seorang fasilitator, Mohd Hafiz Ahmad Zaidi berkata, respons pelajar-pelajar yang mengikuti program itu agak positif dengan teknik-teknik yang diterapkan dalam membantu proses hafalan, “ ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya