Suntikan vaksin Covid-19 untuk kumpulan sasar bakal haji bermula 17 Februari ini

Suntikan vaksin Covid-19 untuk kumpulan sasar bakal haji bermula 17 Februari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suntikan Vaksin Covid-19 bagi kumpulan sasar bakal haji untuk musim 1446H/2025M boleh mula diperoleh di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara bermula 17 Februari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman berkata, selain suntikan Vaksin Meningococcal yang diwajibkan kepada semua jemaah haji, Kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Haji dan Umrah turut mewajibkan suntikan Vaksin Influenza dan Vaksin Covid-19 bagi kumpulan sasar.

“Kumpulan sasar yang diwajibkan vaksin Covid-19 adalah bakal haji berumur 65 tahun ke atas atau yang mempunyai penyakit kronik atau mengalami masalah sistem imun rendah.

“Bagi memudahkan pelaksanaan, bakal haji berumur 65 tahun ke atas yang lulus pemeriksaan kesihatan serta bakal haji dengan kod merah semasa pemeriksaan kesihatan boleh hadir ke PPV berhampiran untuk mendapatkan maklumat jadual pemberian vaksin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syed Hamadah berkata, sebanyak 247 PPV di seluruh negara telah dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan untuk melaksanakan Program Vaksinasi Covid-19 Jemaah Haji 1446H/2025. 

Katanya, ia bertujuan memudahkan bakal haji mendapatkan suntikan di fasiliti yang berhampiran.

Selain itu, bagi suntikan wajib Vaksin Influenza, bakal haji berumur 60 tahun ke atas dan mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik boleh mendapatkan suntikan tersebut di fasiliti kesihatan kerajaan terpilih seperti yang diumumkan oleh KKM.

Manakala, bakal haji lain dinasihatkan untuk mendapatkan suntikan Influenza di fasiliti kesihatan swasta yang mempunyai akses kepada sistem MyVAS atas tanggungan sendiri.

Syed Hamadah berkata, bakal haji turut digalakkan untuk mengambil suntikan Vaksin Pneumococcal bagi perlindungan daripada penyakit jangkitan pernafasan.

Katanya, seiring dengan perkembangan teknologi, bakal haji tidak lagi perlu membawa buku atau kad vaksin secara fizikal ke Tanah Suci. 

Katanya, semua sijil vaksinasi boleh dimuat turun melalui aplikasi MySejahtera untuk semakan oleh pihak berwajib Arab Saudi apabila diperlukan.

“Bakal haji yang mempunyai alahan terhadap mana-mana vaksin digalakkan untuk berjumpa dengan Pegawai Perubatan bertauliah bagi mendapatkan sijil pengecualian vaksinasi melalui MySejahtera. 

“TH akan melampirkan maklumat tersebut bagi tujuan pengesahan permohonan visa kepada Pihak Berkuasa Arab Saudi,” ujarnya.

Syed Hamadah berkata, proses digitalisasi perkhidmatan kesihatan ini mencerminkan komitmen TH dalam penambahbaikan berterusan bagi memudahkan urusan jemaah haji Malaysia.

“TH berterima kasih atas sokongan dan bantuan Kementerian Kesihatan dalam urusan perkhidmatan kesihatan jemaah haji di Tanah Air dan Tanah Suci,” katanya.

TH turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad atas kejayaan memperoleh bekalan vaksin Covid-19 demi manfaat bakal jemaah haji. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya