Sultan Nazrin titah bersihkan surau, masjid daripada penyebar dakyah - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin titah bersihkan surau, masjid daripada penyebar dakyah

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah melancarkan buku bertajuk 'Hubungan Antara Pemerintah dan Rakyat Dalam Kerangka Ahli Sunah Waljamaah' dan 'Pengaruh Ahli Sunah Waljamaah Dalam Pembangunan Ummah' hasil karya Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh pada Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, masjid dan surau wajib dibersihkan daripada kegiatan-kegiatan orang yang tempang menyebarkan dakyah yang songsang.

Titah baginda, ini kerana kebelakangan ini semakin diperlihatkan perjalanan tempang dalam kalangan yang merasakan diri mereka telah bertaraf ilmuwan atau ulama; kebelakangan ini semakin kedengaran suara-suara yang menyampaikan dakyah songsang.

“Tazkirah, kuliah dan diskusi agama semakin bertukar kandungan dengan selitan bahan-bahan cercaan dan fitnah, berkecenderungan memihak atau menentang kabilah politik tertentu.

“Masjid dan surau yang dibangunkan bertujuan sebagai tempat untuk menyatupadukan ummah, semakin dijadikan gelanggang untuk menyebarkan dakyah dan fitnah.

“Masjid dan surau wajib dibersihkan daripada kegiatan-kegiatan orang yang tempang menyebarkan dakyah yang songsang,” titah baginda pada Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, baginda disembah maklumkan sudah ada khatib yang memilih tidak mahu membaca teks khutbah yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Perak yang diperakukan oleh Jabatan Mufti.

Titah baginda, perbuatan sedemikian sudah keterlaluan dan sama sekali tidak boleh didiamkan.

Baginda bertitah, berdiam diri terhadap perbuatan keterlaluan sebegini, laksana membiarkan barah menular lebih luas yang bakal menimbulkan perpecahan dalam kalangan ummah.

“Khatib yang dikurniakan tauliah bertugas di mimbar, dan individu yang dikurniakan tauliah mengajar agama di masjid dan surau, diperkenankan tauliah lantikan dan mengajar oleh Raja Pemerintah setelah disembah nasihat oleh Jabatan Mufti yang berpuas hati dengan sifat dan watak serta ilmu dan pengetahuan calon-calon yang berkaitan.

“Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti, bersama Orang Besar Jajahan, Jawatankuasa Masjid dan Surau serta ahli kariah hendaklah melakukan pemantauan yang rapi, mengenal pasti pihak-pihak yang berselindung di sebalik jubah agama, berjalan tempang dan berperangai songsang,” titah baginda.

Titah baginda, pihak-pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan, sewajarnya melakukan siasatan secara adil dan saksama, meneliti fakta dan kesahihan terhadap perbuatan-perbuatan yang dilaporkan telah melanggar adab bekerja.

“Penemuan dan apa juga ketetapan yang diputuskan oleh pihak berkuasa kepada mana-mana pihak yang terlibat, setelah selesai melalui proses rayuan, hendaklah diangkat sembah laporannya beserta perakuan untuk pertimbangan Raja Pemerintah sewajarnya,” titah baginda.

Sementara itu, pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan melancarkan dua buku iaitu bertajuk ‘Hubungan Antara Pemerintah dan Rakyat Dalam Kerangka Ahli Sunah Waljamaah’ dan ‘Pengaruh Ahli Sunah Waljamaah Dalam Pembangunan Ummah’ hasil karya Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh.

Baginda turut berkenan mendengar pembentangan kertas kerja utama oleh Menteri Wakaf Republik Arab Mesir, Syeikh Dr. Usamah al-Sayyed Mahmood Muhammad Sa’ad al-Azhari.

Mukazarah kali ini mendapat penyertaan hampir 400 peserta kalangan mufti, jabatan kerajaan, wakil pertubuhan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi termasuk dari Indonesia, Thailand, Kemboja, Singapura dan Brunei.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya