IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke majlis penutup serta penyampaian hadiah Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini hari ini.
Turut berkenan berangkat ke majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad serta barisan kepimpinan dan pentadbiran negeri.
Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri Perak 1446H/2025M berlangsung dari 18 hingga 19 Februari 2025.
Pada majlis itu, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan diumumkan sebagai johan qari manakala Norhazira Nabila Mohamad Kamel sebagai johan qariah dengan masing-masing meraih hadiah wang tunai RM10,000, plak serta pakej menunaikan umrah bernilai RM10,000.
Dalam kategori sama, naib johan qari dimenangi Mohamad Sahran Termizi dan Amir Naufal Rifqi Mohd. Rashid di tempat ketiga, manakala naib johan qariah dimenangi Puteri Kalimatul Azzua Hamid dan di tempat ketiga, Nur Syahira Saiful Adli.
Naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima wang tunai RM7,000 dan RM5,000 berserta plak.
Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Zakaria Abd. Razak berkata, bermula daripada peringkat saringan seramai lapan penyertaan Tilawah manakala 24 penyertaan Hafazan bagi tiga kategori iaitu 1-10 juzuk, 1-20 juzuk dan 1-30 juzuk.
“Secara keseluruhannya, pencapaian mutu bacaan hafiz dan hafizah, qari dan qariah adalah memuaskan. Kesemua pemenang akan mewakili Perak di dalam penganjuran Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2025M yang akan diadakan di Perlis dari 27 April hingga 2 Mei,” katanya semasa berucap dalam majlis tersebut.
Muhammad Haziq Jaffar memenangi Kategori 1-10 juzuk lelaki, Danish Farhan Abdul Razak menang Kategori 1-20 juzuk lelaki dan Muhammad Adib Ahmad Rozaini memenangi Kategori 1-30 juzuk lelaki.
Sementara itu, Nisreen El-Zuhayra Norkhairun Nizam menang Kategori 1-10 juzuk wanita, Nurhamizah Mohamad Shafawi memenangi Kategori 1-20 juzuk wanita manakala Siti Sarah Muhammad Hanif memenangi Kategori 1-30 juzuk wanita.
Pemenang Kategori 1-30 juzuk lelaki dan wanita masing-masing meraih hadiah wang tunai RM10,000, plak serta pakej menunaikan umrah bernilai RM10,000. – UTUSAN