KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan mencemar duli melancarkan buku ‘Permata Negeri Terengganu: Setiu Wetlands’ yang diterbitkan bagi memupuk kesedaran tentang kawasan itu sebagai permata semula jadi yang harus terus dipulihara.
Keberangkatan tiba baginda di majlis yang berlangsung di sebuah hotel di sini, bersama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar serta barisan kepemimpinan negeri.
Buku tersebut diterbitkan oleh Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dengan kerjasama CIMB Islamic Bank Berhad.
Presiden WWF Malaysia, Tunku Ali berkata, penerbitan buku mewah itu adalah langkah penting dalam memupuk kesedaran tentang Setiu Wetlands sebagai permata semula jadi yang harus terus dipelihara demi kelestarian generasi kini dan masa depan.
“Karya ini dihasilkan untuk meningkatkan kesedaran tentang keistimewaan alam semula jadi di Setiu Wetlands seperti tuntung, hutan gelam serta kepentingan usaha pemuliharaannya.
“Buku ini juga adalah simbol penghargaan kepada masyarakat tempatan Setiu Wetlands, yang selama ini menjadi tunjang kepada usaha pemuliharaan WWF-Malaysia,” katanya.
Buku tersebut turut memuatkan koleksi gambar serta fakta menarik hasil daripada kajian dan kerja lapangan serta interaksi bersama masyarakat tempatan. – UTUSAN