IPOH: Kerajaan negeri memperuntukan subsidi khas berjumlah RM600,000 buat 150 pasangan warga Perak bagi menjalani rawatan persenyawaan in vitro (IVF) untuk mendapatkan cahaya mata.
Subsidi khas itu adalah menerusi program Permata Perak dengan subsidi sebanyak RM4,000 bagi setiap pasangan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melihat langkah itu juga boleh membantu meningkatkan kadar kelahiran di negeri ini.
“Saya dimaklumkan bahawa kaedah ini mampu meningkatkan kadar kejayaan sehingga 40-50 peratus, bergantung kepada keadaan kesihatan dan faktor individu pasangan yang menerima rawatan,” katanya semasa berucap dalam majlis perasmian Pusat Pakar Rawatan Kesuburan Metro IVF Ipoh di sini hari ini.
Saarani berkata, kehadiran pusat pakar itu di Perak memperluaskan lagi akses rawatan kesuburan kepada rakyat negeri ini.
Katanya, semua maklum bahawa kos rawatan kesuburan tidak murah dengan memberi contoh kos IVF di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dianggarkan antara RM8,000 hingga RM12,000, jauh lebih rendah berbanding pusat rawatan swasta yang boleh mencecah RM18,000 bagi satu kitaran.
“Meskipun terdapat pilihan dengan kos lebih rendah, kekangan kewangan masih menjadi halangan utama bagi ramai pasangan yang ingin mendapatkan rawatan,” katanya.
Beliau turut merujuk laporan Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan kadar kelahiran hidup di Malaysia mengalami penurunan sebanyak 12.3 peratus pada suku ketiga 2024 berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.
“Jika trend ini berterusan tanpa sebarang langkah intervensi yang berkesan, Malaysia bakal berdepan dengan penyusutan populasi serta peningkatan kadar penuaan yang ketara,” katanya.
Beliau turut berkongsikan pengalaman sewaktu turun padang dengan menyaksikan penurunan drastik bilangan murid sehingga mewujudkan sekolah kurang murid (SKM) dan khuatir trend ia boleh memberi impak kepada negara jika berterusan. – UTUSAN