KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah bahawa pengagihan subsidi bersasar yang diperkenalkan oleh kerajaan perlu dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.
Seri Paduka bertitah, bantuan tersebut haruslah disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak dan perlu dilakukan secara telus dan adil tanpa berlaku sebarang penyelewengan atau ketirisan.
“Pengagihan subsidi yang berkesan bukan sahaja melibatkan pengurusan kewangan negara yang baik, tetapi juga perlu memastikan bahawa bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” titah Sultan Ibrahim ketika pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 hari ini.
Sementara itu, Sultan Ibrahim turut bertitah untuk semua pihak perlu berusaha untuk menjayakan kempen Melawat Malaysia tahun 2026.
“Kempen tahun Melawat Malaysia tahun 2026 bakal melihat keunikan budaya dan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia, ia juga akan membuka peluang ekonomi dan mengukuhkan imej negara di mata dunia.
“Oleh itu, semua pihak perlu berusaha untuk menjayakan kempen ini terutama dalam memastikan negara kita bersih dan selamat,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka bertitah, tidak ada pelancong yang hendak datang ke negara ini sekiranya persekitarannya kotor dan kadar jenayah yang tinggi.-UTUSAN