Suara Zayn seolah ingin melepaskan diri - pengasuh

Suara Zayn seolah ingin melepaskan diri – pengasuh

Ismanira Abdul Manaf (depan,kiri) dan Zaim Ikhwan Zahari (belakang,kanan) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di sini hari ini.-UTUSAN/ MUHAMMAD NAIM HELMI HAFIDZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PETALING JAYA: Pengasuh kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin memberitahu dia terdengar suara kanak-kanak autisme itu ketika terlibat dalam operasi pencarian pada petang 5 Disember 2023, di Apartment Idaman, Damansara Damai.

Saksi pendakwaan ke-17, Auni Afiqah Abas, 30, berkata, suara yang turut didengar oleh adiknya yang turut serta dalam operasi tersebut kedengaran seperti tersebut seolah-olah sedang cuba melepaskan diri.

Auni Afiqah yang menjadi pengasuh kepada Zayn Rayyan sejak 2022 berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili ibu bapa kanak-kanak itu, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.

Haresh: Ada atau tidak, anda mendengar suara arwah Zayn semasa terlibat dalam misi pencarian pada petang 5 Disember 2023 itu?
Auni Afiqah: Ya.

Haresh: Sebagai pengasuh kepada Zayn, anda kenal pasti itu suara zayn, betul?
Auni Afiqah: Betul.

Haresh: Suara itu bukan sahaja didengari Auni dan adik Auni tetapi juga beberapa budak-budak di situ, betul atau tidak?
Auni Afiqah: Betul.

Haresh: Setuju atau tidak, kalau saya juga cadangkan suara yang anda dengar petang tersebut seolah-olah suara arwah Zayn cuba nak lepaskan diri dari seseorang?
Auni Afiqah: Saya tidak pasti.

Haresh: Ada atau tidak, Auni beri temu bual dalam ‘live’ (siaran langsung) dengan pihak media dalam TikTok mengatakan suara arwah Zayn yang anda dengar seolah-olah cuba melepaskan diri?
Auni Afiqah: Betul

Sementara itu, semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz, saksi menyatakan suara yang didengar itu menyebut `errr’.

Aqharie Durranie: Tadi kata dengar suara Zayn pada petang itu, suara macam mana itu?
Auni Afiqah: Suara macam ‘errr’.

Aqharie Durranie: Macam mana Auni tahu itu suara Zayn?
Auni Afiqah: Sebab saya jaga dia dan dia pernah buat suara itu di rumah.

Zayn Rayyan merupakan kanak-kanak autisme yang tidak boleh berkomunikasi secara lisan (non-verbal).

Selain itu, saksi berkenaan juga memberitahu, Zayn Rayyan hanya mampu menyebut satu perkataan iaitu ‘mommy’ (panggilan ibu untuk Ismanira) dan turut digunakan ketika ‘tantrum’.

Kata Auni Afiqah, Ismanira juga satu-satunya individu yang mampu menenangkan arwah Zayn Rayyan setiap kali `tantrum’ yang kebiasaannya berlaku pada waktu petang dan ketika hujan lebat.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira; kedua-duanya berusia 30 tahun, mengaku tidak bersalah mengabaikan Zayn Rayyan.

Mengikut pertuduhan, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, pasangan tersebut didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan 9.55 malam, 6 Disember 2023, di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya