KOTA BHARU: Suami pempengaruh, Nur Syahirah Saufi, 28, yang meninggal dunia akibat sakit jantung selepas seminggu mendirikan rumah tangga, menyerahkan semua wang faedah pengurusan jenazah dan pencen penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada keluarga arwah isterinya.
Muhammad Syahmi Zulkefli, 27, layak mendapat pencen penakat sebanyak RM470 sebulan dan wang faedah pengurusan jenazah berjumlah RM3,000 berikutan Nur Syahirah atau lebih dikenali sebagai SchaYang sebelum ini bekerja di butik spa.
Katanya, dia berniat menyerahkan semua wang tersebut termasuk pencen penakat kepada ibu bapa mentuanya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) pertuturan.
Menurutnya, wang tersebut dapat meringankan beban mereka, sekali gus membolehkan mentuanya menyambut Ramadan tidak lama lagi.
“Sebelum arwah meninggal dunia, dia pernah meluahkan hasrat untuk pulang ke rumah keluarganya di Kampung Pengkalan Datu, Sering untuk menyambut Ramadan bersama mereka.
“Arwah isteri sangat gembira kerana ini sepatutnya menjadi Ramadan pertama kami sebagai pasangan suami isteri. Sebaliknya, Allah lebih menyayanginya apabila dia meninggal dunia selepas seminggu kami berkahwin,” katanya ketika ditemui pada Majlis Lawatan Prihatin Perkeso di Kampung Pengkalan Datu di sini, semalam.
Muhammad Syahmi berkata, Allahyarhamah sempat menghadiahkan gambar kenangan bersama keluarga sebelum pulang daripada berbulan madu.
“Saya tidak menyangka pemberian itu petanda arwah meninggalkan saya dan keluarga. Dia juga sempat membeli baju kepada saya untuk dipakai semasa Hari Raya Aidilfitri nanti,” ujarnya.
Sebelum ini, dilaporkan SchaYang yang mempunyai lebih 96,000 pengikut di TikTok meninggal dunia akibat sakit jantung kira-kira pukul 11 malam pada 6 Februari lalu.
Sementara itu, Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, Nur Syahirah sebelum ini bekerja di sebuah butik spa dan sudah mencarum dengan Perkeso selama 36 bulan.
“Majikan kepada arwah wajar diberikan pujian kerana mencarum Perkeso untuk pekerja yang bekerja dengan syarikatnya,” katanya. – UTUSAN