KUANTAN: Suami kepada mangsa yang dibunuh kejam ketika menghantar barang, Norshamira Zainal, 37, tidak menyangka suspek pembunuhan adalah individu dikenalinya.
Muhammad Afiq Akmal Nudin, 31, berkata, dia pernah bertemu dengan lelaki itu dua kali ketika mengikut isterinya menghantar urus niaga hantaran (COD) kepada suspek.
“Dia nampak baik dan peramah tetapi tidak sangka sangat kejam. Saya mahukan keadilan terhadap isteri saya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan di sini, semalam.
Dalam kejadian kelmarin, mayat mangsa dipercayai dibunuh, ditemukan di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Sungai Tanjung Lumpur.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, polis sedang giat mengesan suspek berusia 37 tahun itu yang dikatakan bukan berasal dari negeri ini serta mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.
“Suspek tiada hubungan dengan mangsa, cuma wanita itu ada membuat pertemuan dengannya yang memesan barangan jualan,” katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang antara Datuk Noor Hisam Nordin yang menyerahkan tugasnya kepada Datuk Mohd Yusri Othman di Ibu pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang, semalam.
Yahaya berkata, berdasarkan siasatan awal, beberapa barangan kemas dipakai suspek, hilang.
Sementara itu Muhammad Afiq Akmal berkata, kali terakhir dia dan isterinya berhubung adalah pada pukul 7 petang dan isterinya dikatakan keluar rumah pada pukul 6 petang, Rabu lalu untuk menghantar sambal ikan bilis goreng yang diusahakan sejak setahun lalu.
“Selalunya apabila saya sampai rumah di Sungai Soi dari tempat kerja di Indera Mahkota, dia pula keluar hantar tempahan.
“Namun kali ini, saya bimbang dia tidak pulang seperti biasa lalu segera keluar mencari dibantu rakan-rakan dan dengan bantuan rakan, isteri saya ditemukan bapa saya namun dalam keadaan sudah tidak bernyawa,” ujarnya.
Katanya, isterinya ada memaklumkan melalui pesanan telefon yang dia pulang lambat kerana urusan penghantaran barang.
“Sebenarnya pada waktu siang saya bekerja dan dia jaga anak kami yang berusia lima tahun dan memasak ikan bilis dan apabila saya pulang, saya pula jaga anak dan dia membuat penghantaran barang,” katanya yang bekerja di syarikat swasta.
Jenazah Allahyarhamah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Perantau Damai Keratong 9. – UTUSAN