GUA MUSANG: Sepasang suami isteri maut manakala dua anaknya terselamat selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di Kilometer 3 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di Bandar Utama di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa yang maut di tempat kejadian ialah pemandu kenderaan Perodua Myvi, Muhammad Syamie Farhan Adnan, 25, dan isterinya, Nurul Syafika Anis Zulkifli, 26, yang duduk di kerusi penumpang hadapan.
Dua anak mereka yang terselamat ialah Nur Irdina Delisha berusia 10 bulan dan Muhammad Izz Danial, 5, dengan mengalami kecederaan di bahagian perut.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Perodua Myvi yang sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.
“Pemandu Perodua Myvi yang melalui selekoh ke kanan jalan hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler jenis Scania. Pertembungan itu mengakibatkan treler dipandu oleh seorang lelaki berusia 45 tahun terbabas dan terbalik. Kenderaan yang dinaiki empat sekeluarga itu pula terbabas ke bahu kiri jalan.
“Pemandu bersama penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan, manakala dua lagi penumpang dibawa ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan awal,” katanya. – UTUSAN