SEREMBAN: Sepasang suami isteri dan dua syarikat farmasi milik mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas 15 pertuduhan menyalahgunakan kod QR dan logo mengandungi aplikasi FarmaChecker serta membuat representasi palsu dengan menggunakan Label Keselamatan Hologram Farmatag, dua tahun lalu.
Tertuduh, Cheong Yin Yin, 40, dan James Ooi Joe Behn, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam.
Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, tertuduh didapati mempunyai dalam kawalan bagi maksud perdagangan sebanyak 2,000 unit ubat batuk tiruan jenama Dynadryl Syrup yang dilekatkan padanya kod QR dan logo mengandungi aplikasi FarmaChecker.
Perbuatan itu didakwa di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagang 2019 (Akta 815) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1) (i) akta sama.
Mereka turut didapati membuat representasi palsu dengan menggunakan Label Keselamatan Hologram Farmatag pada 2,000 unit ubat batuk sama bagi tujuan pembekalan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan.
Berikutan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) dan boleh dihukum Seksyen 59 (a) akta sama. Syarikat Fedes Sdn. Bhd. dan Rasa Ria (M) Sdn. Bhd. milik kedua-dua tertuduh turut berdepan pertuduhan sama.
Selain itu, pasangan itu turut didapati mempunyai dalam kawalan bagi maksud perdagangan sebanyak 8,000 unit ubat batuk tiruan jenama Dynadryl Syrup yang dilekatkan padanya kod QR dan logo yang mengandungi aplikasi FarmaChecker mengikut Seksyen 100 Akta 815 yang dijumpai di dalam sebuah kenderaan.
Oleh itu, kedua-duanya telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 102 (1) (c) akta yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1) (ii) Akta 815 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua mereka turut didakwa membuat representasi palsu dengan menggunakan Label Keselamatan Hologram Farmatag pada 8,000 unit ubat batuk sama bagi tujuan pembekalan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan. Kes disebut semula pada 18 April depan.