Suami derita kanser, isteri diserang strok

Suami derita kanser, isteri diserang strok

TAHIR Al Tipah ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis, Pahang akibat kanser usus yang dihidapinya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itu ujian yang perlu ditempuh seorang warga emas, Tahir Al Tipah, 61, apabila disahkan menghidap kanser tekak dan usus.

Anak saudaranya, Nor Rosnani Ahmad Mustaffar, 48, berkata, bapa saudaranya di­sahkan menghidap kanser tekak sehingga kehilangan peti suara sejak enam tahun lalu, sebelum turut disahkan menghidap kanser usus, kira-kira empat bulan lalu.

Katanya, lebih menyedihkan warga emas itu sudah tidak mampu menjaga isterinya, Faridah Ishak, 61, yang terlantar akibat strok di rumah mereka di Kampung Sentang, Padang Tengku di sini.

“Sekitar hujung tahun lalu, bapa saudara ada mengadu sa­kit dalam perut dan sukar untuk membuang air besar sebelum dia dirujuk ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan.

“Hasil pemeriksaan terpe­rinci yang dilakukan, doktor mengesahkan bapa saudara menghidap kanser usus tahap empat dan sel kanser kini sudah merebak ke paru-paru” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nor Rosnani berkata, bapa saudaranya kemudian menjalani pembedahan pada bahagian usus besar dan perlu bergantung kepada beg stoma bagi membuang air besar untuk seumur hidup.

Katanya, Tahir perlu minum susu khas berharga RM119 setin yang hanya bertahan cuma tiga hari dan pelbagai keperluan lain terma­suk lampin pakai buang dan beg stoma.

“Sebelum ini ibu saudara saya sahaja yang terlantar akibat strok memerlukan penjagaan rapi, namun kini keadaan bertambah rumit apabila bapa saudara saya diuji dengan penyakit kanser usus.

“Walaupun ibu saudara ada menerima bantuan RM500 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun ia belum mencukupi kerana perbelanjaan yang besar mencecah RM2,500 sebulan diperlukan untuk membeli kelengkapan serta keperluan bapa dan ibu saudara,” ujarnya.

Jelasnya, pasangan itu juga mempunyai dua anak yang masih belajar berusia 15 dan 19 tahun.

Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0610641000036845 milik Nor Rosnani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN