KULAI: Sebuah stor yang dijadikan premis memproses minyak sawit tanpa kelulusan pihak berkuasa di kawasan Air Bemban di sini diserbu polis kelmarin melibatkan rampasan berjumlah RM2.4 juta.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, Op Taring Landai Khas sempena Tahun Baharu Cina itu turut menyaksikan seorang lelaki berusia 46 tahun iaitu pengusaha premis turut ditahan.
Katanya, serbuan pada pukul 10 pagi itu dibuat Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua (W2) dengan kerjasama penguatkuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Selatan.
“Menerusi serbuan itu, polis merampas merampas 171 tong IBC berisi minyak sawit anggaran isipadu 170,400 liter; 52 tong IBC, empat skid tank, sebuah treler, dua buah gallon tank, dua forklif dan tiga unit hos.
“Rampasan melibatkan nilai keseluruhan berjumlah RM2.49 juta” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Kumar, tangkapan dan juga barang rampasan telah diserah kepada pihak MPOB untuk tindakan lanjut.
“Siasatan dibuat mengikut Peraturan 5 Peraturan-peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005 bagi kesalahan beroperasi tanpa lesen dan Undang-undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) 2019.
“Polis Johor komited dalam membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang dan boleh menjejaskan ekonomi,” tegasnya. – UTUSAN