PETALING JAYA: Pelakon, Emma Maembong, mencuri tumpuan apabila kekasih hatinya, DJ Kidd menunjukkan kemesraan mereka menerusi beberapa video di media sosial.
Dalam hantaran itu, DJ Kidd meluahkan rasa cintanya terhadap ibu seorang anak itu selain berjanji akan menjadi suami yang terbaik buatnya.
Hantaran itu menimbulkan spekulasi bahawa Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail kononnya sudah berkahwin lagi.
“Isteri,” tulis deejay itu menerusi sebuah video yang menunjukkan Emma memeluknya daripada belakang semasa membonceng motosikal.
Dalam hantaran berbeza, pasangan tersebut dilihat sedang dilamun cinta apabila DJ kidd mengakui sudah bertemu bidadari yang ditunggu selama ini.
“Saya cinta awak, tak perlu tunggu syurga untuk jumpa bidadari. Saya akan menjadi suami terbaik untuk awak,” tulisnya.
Terdahulu, Emma didakwa kini bergelar isteri kepada seorang deejay dan bercuti bersama-sama di luar negara.
Bagaimanapun, adiknya, Chacha Maembong menafikan khabar angin berkenaan selain menyifatkan ia tuduhan bersifat jahat yang diada-adakan untuk mencemarkan imej kakaknya.- UTUSAN