SPRM teliti dokumen projek berkait rasuah diserah DBKL

SPRM teliti dokumen projek berkait rasuah diserah DBKL

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang meneliti semua dokumen diterima Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung pemberian projek bernilai RM4 juta yang dikaitkan dengan rasuah.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya belum lagi membuka kertas siasatan berhubung kes itu.

“Buat masa ini, SPRM tidak lagi membuka kertas siasatan kerana kita tidak tahu duduk benarnya perkara (dakwaan rasuah) ini.

“Kami ingin jelaskan bahawa DBKL dia mengambil tindakan dalaman berdasarkan satu maklumat yang mereka dapat daripada media sosial.

“Bagaimanapun, pegawai SPRM yang ditempatkan di DBKL juga terlibat dalam siasatan dalaman kes berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, buat masa ini, pihaknya sedang mengkaji dokumen itu berdasarkan dua aspek iaitu berkaitan jenayah atau salah guna kuasa.

Azam berkata, jika siasatan mendapati ia berkaitan isu rasuah maka, ia akan disegerakan dan individu berkaitan akan dipanggil.

Buat masa ini, katanya, beliau telah mengarahkan bahagian siasatan supaya memulakan siasatan dari aspek tatakelola.

Mengulas lanjut, katanya, ketika ini pihaknya tidak memanggil mana-mana individu bagi membantu siasatan kes itu termasuk Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Datuk Afdlin Shauki yang dikaitkan dengan kes itu.

Semalam, DBKL mengesahkan sudah menyerahkan dokumen dan maklumat kepada SPRM berkaitan dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihatnya yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.

Datuk Bandar Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif mengesahkan penyerahan dokumen dan maklumat berkaitan untuk membantu siasatan SPRM membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL bernilai RM4 juta, yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.

Menurut dakwaan di media sosial, ahli lembaga penasihat berkenaan dikatakan memegang jawatan dalam syarikat yang dianugerahkan projek berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya