PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jika perlu bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan empat pegawainya, minggu lalu.
Sumber berkata, setakat ini, Ahli Parlimen Bera itu masih mendapatkan rawatan di hospital.
Katanya, beliau akan dipanggil SPRM bergantung kepada tahap kesihatan semasa.
“Bagaimanapun, siasatan masih giat dijalankan berkaitan kes tersebut. Malah, beberapa aset serta duit wang tunai turut ditemukan di rumah bekas pegawai kanannya dan telah disita,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, seramai lapan saksi akan dipanggil SPRM dalam masa terdekat untuk diambil keterangan.
Katanya, seramai lapan saksi akan dipanggil bermula minggu ini dan minggu hadapan.
“Selain itu, Bahagian Pencegahan Wang Haram (AMLA) sedang meneliti dokumen-dokumen dirampas.
“Siasatan dijalankan di bawah Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya.
Ditanya sama ada kemungkinan Ismail Sabri dan individu kenamaan lain akan dipanggil untuk dirakam percakapan, beliau enggan mengulas lanjut.
“Siasatan masih berjalan dan setakat hari ini, saya (SPRM) tidak dapat jangka bila siasatan akan dapat dilengkapkan,” katanya.
Selasa lalu, tiga pegawai yang mempunyai kaitan dengan Ismail Sabri dibebaskan dengan jaminan manakala seorang lagi pada 23 Februari lalu.
Sebelum ini, dua bergelar Datuk adalah di antara empat bekas pegawai kanan Ismail Sabri untuk membantu siasatan lanjut terhadap beberapa kes yang dikaitkan dengan rasuah serta pengubahan wang haram.
Selain itu, seorang pegawai eksekutif sebuah yayasan dan seorang wanita yang juga pembantu kepada seorang pegawai khas terbabit turut ditahan oleh agensi antirasuah itu.
Penahanan itu dilakukan SPRM mengikut Seksyen 16a Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Turut difahamkan, beberapa kes sedang disiasat oleh SPRM ketika ini dan antaranya membabitkan perbelanjaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti. – UTUSAN