PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum boleh mendedahkan hasil-hasil penemuan berhubung kes membabitkan empat bekas pegawai kanan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yang ditahan reman Jumaat lalu.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan, ini termasuk nilai wang atau aset-aset yang dijumpai dan tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa saksi lain akan dipanggil bagi membantu siasatan.
“Siasatan terhadap keempat-empat suspek yang dijalankan di bawah Seksyen 16a Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) masih diperingkat awal.
“Justeru, SPRM meminta orang ramai untuk memberi ruang kepada Suruhanjaya ini menjalankan siasatan secara adil, telus dan professional,” katanya hari ini.
SPRM akan memaklumkan perkembangan terkini kepada masyarakat mengenai siasatan dijalankan dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi mengenainya. – UTUSAN