GEORGE TOWN : Empat trip perkhidmatan feri akan ditambah bermula malam esok hingga awal pagi Sabtu ini bagi memudahkan pergerakan pengunjung sempena sambutan perayaan Chap Goh Meh di Padang Kota, di sini.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin berkata, inisiatif itu dibuat selepas pihaknya menerima permohonan daripada Penang Global Tourism (PGT) selaku penganjur program.
“Sebagai langkah memastikan kelancaran perjalanan pengunjung, dua trip tambahan akan disediakan dari Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU), George Town ke Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), Butterworth esok masing-masing pada pukul 10.30 malam dan 11 malam.
“Selain itu, dua lagi trip tambahan di lokasi sama dijadualkan pada hari Sabtu iaitu masing-masing pada pukul 12 tengah malam dan 1 pagi,” katanya di sini, hari ini.
Tambah Soon Hin, Penang Port Sdn. Bhd., selaku operator pelabuhan, bersama SPPP sebagai badan kawal selia, berharap penambahan perkhidmatan ini dapat membantu memperlancar pergerakan pengunjung selain memastikan sambutan perayaan itu berjalan dengan baik.
Sambutan Chap Goh Meh yang dijadual antara pukul 5 petang hingga 11 malam esok dijangka menarik ribuan pengunjung ke Padang Kota bagi menyaksikan pelbagai acara budaya dan hiburan oleh masyarakat Cina khususnya di Pulau Pinang.-UTUSAN