IPOH: Taktik sindiket penyeludupan rokok putih mengaburi mata pihak berkuasa dengan meletakkan lori berisi barangan terlarang itu di kawasan sunyi termasuk tanah perkuburan tumpas selepas tertangkapnya dua lelaki dalam serbuan pada 21 Januari lalu.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, dua lelaki itu ditahan oleh sepasukan anggota penguatkuasa JKDM Ipoh di tapak perkuburan di Kamunting pada pukul 11.30 pagi.
Katanya, ketika ditahan, kedua-dua lelaki itu berada di dalam lori yang mengandungi 852,500 batang rokok putih pelbagai jenama.
“Rokok putih yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM93,775 dengan anggaran duti atau cukai sebanyak RM554,977.50.
“Pemeriksaan mendapati, rokok-rokok yang disita itu tidak mempunyai pelekat setem cukai selain tidak mengikut syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, serbuan pada hari sama turut dilakukan di sebuah rumah tidak berpenghuni di Taiping di mana telah berjaya menemukan 467,100 batang rokok putih dan kretek pelbagai jenama.
Katanya, barangan yang disita dalam serbuan pada pukul 2.30 petang itu dianggarkan bernilai RM57,695 dengan jumlah duti atau cukai sebanyak RM304,713.50.
“Siasatan mendapati, modus operandi yang digunakan oleh sindiket penyeludupan tersebut adalah meletakkan lori berisi barang larangan di kawasan sunyi yang tidak mencurigakan serta premis kosong bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu dengan disedari menyimpan barang-barang larangan,” katanya.
Tambah beliau, serbuan terhadap dua kes itu termasuk dalam enam serbuan yang dijalankan pihaknya sepanjang bulan lalu iaitu dua di Pelabuhan Klang, Selangor dan satu serbuan masing-masing di Trong, Taiping dan Pengkalan Hulu.
Katanya, serbuan tersebut membabitkan rampasan rokok putih dan kretek, minuman keras, mercun dan dadah bernilai RM4.56 juta termasuk cukai, bulan lalu
“Dalam serbuan itu, 78,000 liter minuman keras pelbagai jenama dirampas bersama 420 kotak mercun dan bunga api serta 1.05 kilogram ketulan mampat disyaki ganja membabitkan nilai rampasan keseluruan sebanyak RM3.5 juta,” katanya. – UTUSAN