PETALING JAYA: Sebanyak 10 persatuan media menyatakan sokongan terhadap penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM), namun menolak penglibatan wakil kerajaan dalam lembaga majlis itu.
Antara persatuan media yang menyokong adalah Centre for Independent Journalism (CIJ); ARTICLE 19; Gerakan Media Merdeka (GERAMM); Justice for Sisters (JFS); Suara Rakyat Malaysia (SUARAM); Sinar Project; Amnesty International Malaysia; Malaysian Center for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR); National Union of Journalists Peninsular Malaysia (NUJM) dan KRYSS Network.
Selain itu, ia turut disokong North South Initiative; Pusat Komas; Gabungan Pilihan Raya Bersih & Adil (BERSIH); SIUMAN Collective dan Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER).
Gabungan suara itu menegaskan bahawa penolakan terhadap kehadiran wakil kerajaan adalah bagi memastikan MMM kekal sebagai badan kawal selia kendiri yang bebas tanpa menjejaskan objektif dan tujuan penubuhannya selepas Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan semalam.
“Dalam perbahasan Timbalan Menteri Komunikasi,Teo Nie Ching di Dewan Rakyat hari ini, beliau menegaskan bahawa wakil kerajaan adalah dalam kalangan yang arif dengan industri media seperti Bernama dan RTM.
“Kami berharap supaya janji ini menandakan komitmen daripada kerajaan dalam mempromosikan kebebasan media dan meletakkan kepentingan awam sebagai keutamaan berbanding manfaat politik,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Semalam, RUU MMM 2024 diluluskan oleh Dewan Rakyat sekaligus melakar sejarah kepada industri media di negara ini.
RUU itu mendapat sokongan majoriti daripada blok kerajaan dan pembangkang selepas ia dibahas oleh 18 Ahli Parlimen hari ini.
RUU MMM 2024 yang mengandungi 23 Fasal itu dibentangkan Nie Ching untuk bacaan kali pertama pada 12 Disember tahun lalu dan hari ini untuk bacaan kali kedua.
Tambah gabungan suara itu, kerajaan digesa mengemukakan pelan tindakan dan garis masa yang jelas bagi reformasi perundangan media dalam usaha mencapai kebebasan media yang sebenar di negara ini.
Katanya, dalam memastikan penubuhan MMM bukan sekadar tindakan simbolik bagi memuaskan media dan masyarakat, kerajaan harus memperkasa dan memberi sumber daya yang mencukupi kepada MMM supaya memenuhi mandat reformasi.
“Perkara ini termasuk komitmen kerajaan untuk memansuhkan undang-undang yang menindas seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984, Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998.
“Begitu juga dengan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950, serta Seksyen 499 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan (jenayah fitnah) selain meminda akta lain seperti Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
“Tanpa reformasi perundangan yang dibuat secara serentak dan segera, keberkesanan MMM akan terjejas sekali gus menjadi sebuah institusi yang tidak efektif di Malaysia,” katanya. – UTUSAN