KUALA LUMPUR : Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh mencadangkan agar pemuisi tanah air menjalankan kajian mendalam terhadap genre pantun bagi mengelakkan pengulangan unsur klise dalam puisi klasik tersebut.
Menurut Dr. Muhammad, kebanyakan pantun yang dihasilkan kini masih menggunakan imejan dan tema yang sama dalam pembayang serta maksud tanpa pembaharuan idea.
“Sudah tiba masanya para pengkaji pantun mencari pendekatan baharu dalam mengubah imejan dan tema, sambil tetap mengekalkan keunikan pantun Melayu. Langkah ini penting bagi menarik minat generasi muda dan memastikan pantun terus berkembang serta tidak ditelan zaman.
“Pantun Melayu merupakan satu bentuk puisi yang unik dan tidak wujud dalam budaya bangsa lain di dunia. Ia dimulakan dengan pembayang yang diikuti oleh maksud, dengan prinsip asas pemantunan yang mengekalkan rima seragam.
“Walaupun bukan tugas yang mudah, generasi terdahulu mampu melahirkan pantun yang indah, berseni, dan sarat dengan makna mendalam,” katanya dalam program Wacana Ilmiah Pengurusan PEMUISI Kebangsaan 2025 serta majlis penyampaian Watikah Pelantikan Exco Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) di Wisma DBP Sabtu lalu.
Dalam majlis tersebut, Dr. Muhammad turut menyampaikan Watikah dan Sijil PEMUISI 2025 kepada barisan exco, Pengerusi Biro PEMUISI Negeri, serta Ketua Sayap Wanita, Putera, dan Puteri.
Sementara itu, Presiden PEMUISI, Datuk Dr. Radzuan Ibrahim berharap program berkenaan dapat memberikan pendedahan mengenai visi dan misi PEMUISI serta meningkatkan pengurusan persatuan pada semua peringkat kepimpinan.
Beliau menekankan bahawa kejayaan pelaksanaan program PEMUISI bergantung kepada komitmen tinggi setiap ahli exco.
“Setiap individu yang dipertanggungjawabkan harus melaksanakan tugas mereka dengan penuh dedikasi demi memastikan kelancaran semua inisiatif yang dirancang,” ujarnya.
Antara tetamu yang turut hadir ialah Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Rodziah Md. Yunus, yang membentangkan kertas kerja bertajuk DBP dan Rakan Strategik Penganjuran Program.
Dalam pembentangannya, beliau turut menyentuh mengenai Dana Penggerak Industri Buku Negara yang membuka peluang kepada penerbit swasta untuk mengemukakan cadangan penerbitan buku bukan fiksyen.
Turut membentangkan kertas kerja ialah Ketua Satu, Persatuan Penulis Johor, Amiruddin Ali Hanafiah (Ke Arah Pemantapan Pengurusan Persatuan dan Impak Maksimum); Exco Penerbitan, Penyiaran dan Media PEMUISI, Mohamad Letfee Ahmad (Penerbitan dan Penyiaran: Apa Yang Perlu Dibuat dan Diketahui).
Presiden Persatuan Teater Malaysia, Sakrani Shamsuddin (Perancangan Program dan Pendanaan Persatuan); serta Pengerusi Tetap PEMUISI, Dr. Ferri Anugerah Makmur (Sikap Diri dan Pandangan Jauh Pihak Pengurusan Persatuan yang Diperlukan).
Ketua Sayap Wanita PEMUISI, Lilis Asyura Mohd Yatim, menyatakan bahawa program ini memberikan banyak manfaat kepadanya.
“Sebagai individu yang masih baru dalam dunia puisi, program ini membuka minda saya dan memberikan motivasi untuk terus berkarya serta menjalankan amanah yang diberikan. Namun, adalah lebih baik sekiranya program seperti ini dibuka kepada lebih ramai ahli untuk berkongsi ilmu dan diperindah dengan sesi latihan amali bagi memudahkan pemahaman,” katanya yang bertugas sebagai Setiausaha kepada Ketua Provos Marsyal, Cawangan Provos Marsyal Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Pertahanan.
Sementara itu, Exco Perkembangan Bahasa, Sastera, Seni & Budaya PEMUISI, Dr. Shafa’atussara Silahudin, menyentuh mengenai kepentingan media dalam memperkasa aktiviti persatuan.
“PEMUISI perlu memanfaatkan media digital sebagai platform utama untuk mengekalkan relevansi dalam masyarakat. Ahli-ahli persatuan juga perlu didedahkan kepada pemasaran digital, pengurusan kandungan kreatif, serta pembangunan audiens agar jenama PEMUISI dapat berkembang seiring dengan era digital,” katanya.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan dan Penyelaras Program Pengajian Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, berharap agar program seperti ini dapat dianjurkan secara berterusan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai ahli serta membantu mereka mengasah bakat dan menimba ilmu daripada pakar dalam bidang masing-masing. – UTUSAN