PETALING JAYA: Aksi terakhir Malaysia di Piala Dunia Hoki Dalam Dewan Lelaki 2025 menentang Trinidad & Tobago hari ini bakal menjadi peluang terakhir skuad negara untuk menebus maruah selepas kempen yang hambar.
Skuad kendalian Mohd Rodzhanizam Mat Radzi itu bakal turun dalam perlawanan klasifikasi tempat ke-11 dan 12 di Pusat Sukan Zatika, Porec, Croatia, dengan misi mengelak daripada menamatkan kejohanan di kedudukan terakhir.
“Kita tidak mahu menamatkan saingan di tangga tercorot. Pemain perlu bangkit dan memberikan aksi terbaik dalam perlawanan terakhir ini.
“Kami berharap dapat menamatkan di kedudukan ke-11 untuk perlawanan terakhir esok (hari ini),” kata Rodzhanizam.
Malaysia sebelum ini sekali lagi tewas kepada Argentina 2-6 dalam aksi klasifikasi tempat ke-9 hingga 12 selepas turut dikecewakan lawan sama 2-5 di peringkat kumpulan.
Lebih membimbangkan, skuad negara menamatkan saingan kumpulan bersama Jerman dan Iran tanpa sebarang mata, sekali gus berada di tangga tercorot.
Dalam pada itu Rodzhanizam mengakui anak buahnya mempamerkan usaha yang baik, namun kelemahan dalam penyudahan menjadi punca kegagalan meraih keputusan positif.
“Mereka bermain dengan sangat baik tetapi kurang dari sudut beberapa aspek.
“Kita ada peluang menjaringkan gol, tetapi gagal memanfaatkannya dengan baik. Itu yang perlu diperbaiki,” katanya.