Skandal Emilia Perez: menjelang pengumuman Oscar - Utusan Malaysia

Skandal Emilia Perez: menjelang pengumuman Oscar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EMILIA Perez nampaknya menjadi naskhah pencalonan Anugerah Akademi Oscar 2025 yang paling kontroversi. 

Tinggal beberapa hari sahaja lagi tempoh kempen dan undian oleh ahli akademi bakal berakhir, namun spekulasi, dakwaan, pendedahan berkaitan filem arahan Jacques Audiard itu masih hangat diperkatakan. 

Sebenarnya, sejak Emilia Perez diumumkan membolosi 13 kategori termasuk kategori utama iaitu Best Picture, beberapa pihak sudah mula melakukan bantahan. 

Filem berbahasa Sepanyol itu diselar kerana tidak menghormati sensitiviti kes kartel dadah di Mexico di samping dakwaan mengeksploitasi isu transgender tanpa memberi fokus kepada penderitaan golongan minoriti tersebut. 

Nampaknya semuanya tidak berakhir di situ, skandal membabitkan pelakonnya, Karla Sofía Gáscon yang juga tercalon sebagai penerima anugerah kategori Best Actress ibarat menyimbah minyak ke dalam api.

Sudah menjadi syarat wajib bagi Anugerah Oscar di mana mereka yang tercalon tidak boleh memburukkan Akademi juga calon lain sepanjang tempoh berkempen. 

Namun Karla ibarat menjerut leher sendiri apabila didakwa melanggar syarat Anugerah Oscar apabila secara terbuka berkata ada pelakon dan pasukannya cuba memburukkanya di media sosial dalam status sesi temu ramah bersama media. 

Karla dipercayai menyindir pencabar terdekatnya iaitu pelakon, Fernanda Torres (Im Still Here).

Karla bagaimanapun menegaskan ucapan itu tidak ditujukan kepada sesiapa. Tetapi, warga maya mula menggali hantaran yang pernah dilakukan pelakon itu. 

Karla rupanya pernah beberapa kali memuat naik hantaran berbaur rasis selain menghina agama Islam. 

Perkara itu dibongkar seorang jurnalis Sarah Hagi yang berkongsi tangkap layar pelakon itu pernah memberikan komen berbunyi  ‘macam tengah tengok festival Afrika-Korea’ ketika filem Nomadland, Minari, dan Judas and the Black Messiah tercalon di Anugerah Oscar 2021. 

Malah, Karla juga pernah memuat naik kenyataan mengatakan agama Islam sudah menjadi seperti wabak yang harus disembuhkan. Perkara tersebut telah menimbulkan kemarahan dan mengundang kekecewaan orang ramai. Bagaimanapun, Karla terus menutup akaun X miliknya selain menegaskan media sosial hanyalah diari dan pendapatnya tentang sesuatu perkara boleh berubah seiring meningkatnya usia.

Bukan itu sahaja, dia juga secara berlapik mengatakan tindakan menutup akaun itu dilakukan kerana ada unsur sabotaj apabila ada pihak yang menyuarakan kebencian terhadap dirinya. Emilia Perez masih lagi ditayangkan di Netflix USA sehingga kini. 

Tarikh tutup kempen dan undian Anugerah Oscar akan berakhir pada 18 Februari ini manakala malam kemuncak Anugerah Oscar ke-97 bakal berlangsung pada 2 Mac 2025.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya