SK Tebing Rebak terima pendaftaran seorang murid

SK Tebing Rebak terima pendaftaran seorang murid sahaja

ZAITON Hashim (kiri) dan Ismail Daud (kanan) bersama murid pada hari pertama sesi persekolahan 2024/2025 di SK Tebing Rebak di Bagan Datuk semalam. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hanya seorang murid Tahun 1 mendaftar di Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Rebak Bagan Datuk baru-baru ini, menjadikan jumlah murid di sekolah itu seramai lapan orang kesemuanya bagi sesi persekolahan 2024/2025.

Nur Delisha Qaisar Mohd. Anuar, 7, yang mendaftar semalam merupakan satu-satunya murid Tahun 1 di sekolah itu.

Lain-lain terdiri daripada dua Murid Tahun 2, seorang murid Tahun 3, dua murid Tahun 4, seorang murid Tahun 5 dan seorang murid Tahun 6.

Nur Delisha Qaisar yang dilantik ketua kelas Tahun 1 menyertai abangnya, Mohamad Danish Harraz, murid Tahun 3 dan kakaknya, Nur Deanna Qaireesya, murid Tahun 6 di sekolah yang sama.

Sekolah itu mempunyai lapan orang guru.

SK Tebing Rebak sememangnya dikenali sebagai sekolah kurang murid sejak beberapa tahun lalu disebabkan penghijrahan penduduk.

Guru Besar SK Tebing Rebak, Zaiton Hashim berkata, jumlah lapan murid pada sesi kali ini sama dengan jumlah murid tahun lepas.

Menurutnya, kekurangan murid di sekolah itu merupakan perkara biasa disebabkan kekurangan penduduk yang berhijrah.

“Setiap tahun memang beginilah keadaannya, tidak ramai yang mendaftar kemasukan murid di sekolah ini.

“Namun saya bersyukur tiga beradik ini masih bersekolah di sini, ibu bapa mereka tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah lain dan mereka memang mereka suka belajar di sekolah ini,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pemulihan Khas Bagan Datuk Ismail Daud berkata, untuk tahun ini, jumlah murid dan guru di sekolah itu masih sama iaitu lapan murid dan lapan guru.

“Walaupun sekolah ini kurang murid, ibu bapa murid dan komuniti setempat memberikan sokongan yang sangat baik terhadap sekolah dan aktiviti yang dianjurkan pihak sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Deanna Qaireesya, yang merupakan murid tunggal Tahun 6 berkata, dia seronok belajar di sekolah itu walaupun kurang murid.

“Ini merupakan tahun terakhir saya belajar di sini ini sebelum ke sekolah menengah tahun depan. Memang rasa sayang nak tinggalkan sekolah ini kerana saya belajar di sini sejak Tahun 1,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN