SEMPENA ulang tahun yang ke-73 tahun penubuhan Sekolah Kebangsaan (SK) Sengkang, Tangkak, Johor, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sengkang menganjurkan S’PRISE Fun Run 2024, baru-baru ini.
Program julung kali diadakan itu mendapat sambutan daripada peserta tempatan dan luar yang sebahagiannya terdiri daripada bekas murid sekolah berkenaan. Yang Dipertua PIBG, Fauzan Mahaya berkata, larian sejauh lima kilometer itu terbahagi kepada dua kategori iaitu dewasa dan kanak-kanak di mana peserta melalui laluan ditetapkan penganjur mengelilingi kawasan kampung Sengkang Batu 22 sambil menikmati suasana desa yang mendamaikan.
Katanya, perancangan menganjurkan program S’PRISE Fun Run itu mendapat kerjasama erat antara pihak sekolah, PIBG dan beberapa penaja bagi menyemarakkan sambutan 73 tahun penubuhan SK Sengkang. Program dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Gambir, Sahrihan Jani. Hadir sama Guru Besar, Sa’aya Abu Bakar. –UTUSAN