Situasi penyakit kusta terkawal - KKM

Situasi penyakit kusta terkawal – KKM

KEMENTERIAN KESIHATAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyakit kusta di negara ini bukan satu wabak dan berada jauh di bawah tahap ambang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kementerian Kesihatan menerusi kenyataan berkata, penyakit itu sememangnya wujud dalam masyarakat, namun dengan kemajuan rawatan moden yang canggih dan berkesan, ia boleh dikawal.

Katanya, mereka yang terdedah kepada kusta juga boleh mengambil profilaksis (ubat pencegahan), jadi tidak ada sebab untuk panik.

“Kementerian Kesihatan juga telah lama meningkatkan aktiviti pengesanan penyakit itu secara proaktif serta memastikan situasi kusta dalam keadaan terkawal.

“Malaysia mempunyai sistem kawalan yang sistematik, termasuk Pusat Kawalan Kusta Negara di Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan menyeru semua pihak agar menggunakan bahasa yang tepat dalam laporan mereka dan mengelakkan istilah seperti ‘wabak’, yang secara teknikalnya tidak tepat dan boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan memberi jaminan situasi penyakit kusta di Kuala Pilah, Negeri Sembilan adalah terkawal kerana rawatan berkesan telah tersedia.

Setakat 19 Februari 2025, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Negeri Sembilan telah menjalankan saringan ke atas 368 daripada 460 penduduk di Kampung Chergun dan Kampung Guntur sebagai sebahagian daripada usaha mengesan kes secara bersasar sejak Julai 2024.

“Sehingga kini, sebanyak sembilan kes telah disahkan kusta dan kesemua pesakit telah diberi rawatan mengikut garis panduan yang ditetapkan,” jelasnya.

Bagaimanapun, seorang pesakit lelaki berusia 18 tahun dari Kampung Chergun dilaporkan meninggal dunia pada 17 Februari lalu selepas dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) akibat mengalami demam, sakit perut dan muntah.

“Pesakit telah menerima rawatan sewajarnya oleh Pakar Perubatan Dalaman HTAN dengan khidmat konsultasi dari pakar Gastroenterologi, Hepatologi dan Dermatologi sebelum dibawa pulang oleh ahli keluarga pada 16 Februari.

“Pesakit kemudiannya meninggal dunia keesokan harinya,” katanya.

Dalam pada itu, kementerian berkata, aktiviti pengesanan kes, pemantauan kontak serta langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan masih diteruskan.

Orang ramai yang mengalami gejala penyakit kusta dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

Pada masa sama, kementerian itu turut menyeru masyarakat agar memberi kerjasama kepada pasukan kesihatan sepanjang aktiviti pengesanan kes dijalankan bagi memastikan kesihatan serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Dalam pada itu, KKM berkata, pada 2024, bilangan kes kusta yang dilaporkan adalah sebanyak 292 kes, peningkatan 36 kes (14 peratus) berbanding 256 kes yang dilaporkan pada 2023.

Daripada 292 kes yang dilaporkan, 192 kes (66 peratus) adalah kes baharu tempatan.

Namun katanya, peningkatan ini adalah hasil positif daripada pengukuhan inisiatif mencari dan mengesan kes secara bersasar di lapangan agar sebarang kes dikesan awal dan diberikan rawatan segera bagi mengurangkan dan mencegah komplikasi penyakit dan kecacatan kekal.

“Penekanan terhadap pengesanan kes secara aktif (active case detection) dalam kalangan golongan berisiko dan di lokaliti endemik merupakan
fokus utama program kawalan kusta kebangsaan.

“Pengesanan awal kes dan kontak rapat dapat mengawal penyakit ini daripada terus merebak, manakala rawatan awal dapat mengurangkan dan mencegah komplikasi penyakit dan kecacatan kekal,” katanya.

Tambahnya, pemberian rawatan profilaksis ‘Single Dose Rifampicin’ kepada kontak rapat dan komuniti berisiko juga telah dilaksanakan bermula tahun 2023 sebagai langkah pencegahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya