KUALA LUMPUR: Penggunaan sistem rekod kesihatan elektronik (EMR) akan diperluas ke 16 buah hospital dan 300 buah klinik kesihatan di seluruh negara menjelang tahun ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perluasan penggunaan EMR itu menjadikannya satu langkah yang amat penting dalam merealisasikan visi ‘Satu Rakyat, Satu Rekod’ dan memacu pendigitalan sektor kesihatan awam ke tahap lebih tinggi.
Menurut beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah merangka pelan pendigitalan secara berfasa merangkumi keseluruhan baki klinik kesihatan dan hospital di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Jelasnya, kaedah penyimpanan data bagi sistem EMR itu akan menggunakan teknologi pengkomputeran awan yang mana ia menawarkan penyimpanan data dengan menjimatkan kos, kebolehskalaan tinggi dan jaminan keselamatan data.
“Selain itu, data disimpan di pusat data yang diiktiraf oleh Ketua Pejabat Keselamatan Kerajaan (CGSO) dan terletak di Malaysia, memberikan kelebihan daripada segi kedaulatan data.
“Hal ini amat penting untuk memastikan keselamatan, privasi, dan integriti data klinikal pesakit terpelihara selaras dengan Dasar Pengkomputeran Awan Sektor Awam dan Akta Perkongsian Data 2024,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) yang meminta kementerian menyatakan status Projek Digitalisasi Kesihatan Negara. – UTUSAN