KUALA LUMPUR: Komposer dan penulis lirik, Aqmal Mustafa dan Aniq Muhai merekodkan pencapaian membanggakan apabila lagu ciptaan mereka Sirih Pulang Ke Gagang yang dipopularkan Aniq dan kumpulan UNIC diangkat sebagai lagu terbaik Anugerah Carta 114 musim kedua yang berlangsung di TV AlHijrah, malam tadi.
Kemenangan itu melayakkan Aqmal dan Aniq membawa pulang RM20,000 berserta trofi.
Kumpulan UNIC yang dianggotai Fitri Haris, Bazli Hazwan dan Fakhrul Radhi juga tidak pulang tangan kosong apabila mengungguli kategori Vokal Terbaik, melayakkan mereka membawa pulang RM10,000 berserta trofi.
“Perasaan kami sebenarnya bercampur baur, macam tak percaya dengan kemenangan ini.
“Walaupun susah untuk ketiga-tiga kami bersatu ketika latihan, tapi kemenangan malam ini membuktikan rezeki Allah yang tentukan.
“Mungkin 23 tahun pengalaman kami bersama yang membentuk keserasian ini, menyatukan hati dan perjuangan kami. Apa pun Kami bersyukur kepada Allah SWT,” kongsinya.
Anugerah Carta 114 musim kedua juga menyaksikan kejayaan manis direkodkan kumpulan Darwish yang mengungguli kategori Persembahan Terbaik menerusi penyampaian lagu Abu Ubaidah ciptaan sepenuhnya Faiz Darwish.
Kemenangan itu melayakkan Faiz dan Amin membawa pulang RM10,000 dan trofi.
Kejayaan itu menebus kehampaan kumpulan ini yang pada tahun lepas berentap di peringkat akhir Anugerah Carta 114 musim pertama.
“Alhamdulillah, kali ini kami berjaya. Perjalanan kami tidak mudah, bermula pada 2012, kami cuba selangkah demi selangkah.
“Walaupun kami tak popular, tidak gah berbanding penyanyi nasyid lain, tapi atas usaha dan izin Allah, rezeki kami tertulis malam ini.
“Saya katakan kepada Amin, kita teruskan sahaja, tak perlu takut atau apa. Buat terbaik. Kami anggap seperti kami berada di Palestin,” kongsi Faiz.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Nadzariah Mohamed memaklumkan Anugerah Carta 114 musim kedua dianjurkan untuk memartabatkan industri nasyid yang juga sebagai medium dakwah.
“Bait lirik lagu nasyid ini adalah untuk kebaikan, ketuhanan, untuk mendidik masyarakat .
“Kami akan teruskan usaha ini Insya-Allah. Kami harap lagu-lagu nasyid berpeluang untuk diraikan dalam arus perdana,” kongsinya.