Sindiket tipu kerja kaut RM54,000 sebulan tumpas

Sindiket tipu kerja kaut RM54,000 sebulan tumpas

SERAMAI sembilan ahli sindiket pusat panggilan penipuan pekerjaan antarabangsa ditahan polis di sebuah kondominium di Taman Kota Laksamana, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sembilan ahli sindiket pusat panggilan penipuan pekerjaan antarabangsa yang mengaut keuntungan RM54,000 sebulan diberkas polis di sebuah kondominium di Taman Kota Laksamana di sini, minggu lalu.

Kesemua suspek yang terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita termasuk tiga warga China berusia antara 26 dan 43 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, kira-kira pukul 10 pagi pada 7 Februari lalu.

Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md. Nazri Zawawi berkata, sindiket menyasarkan mangsa dari sebuah negara di kepulauan Caribbean.

Kata beliau, modus operandi sindiket adalah dengan mengiklankan tawaran pekerjaan palsu di laman sosial Facebook dan mangsa yang berminat akan berkomunikasi dengan ahli sindiket melalui platform Whatsapp atau Telegram.

“Mangsa kemudian diarahkan membuat 32 jenis tugasan melalui laman sesawang yang kononnya bagi membantu menaikkan jumlah maklum balas hotel dan filem negara berkenaan. Selesai tugas pertama, mangsa yang berminat meneruskan tugasan akan diarahkan membuat transaksi bayaran kepada ahli sindiket ini.

“Mangsa dijanjikan bayaran komisen dalam dolar Amerika Syarikat (AS) antara AS$70 dan AS$100 bagi setiap tugasan yang berjaya dilaksanakan. Bagaimanapun, mangsa tidak menerima komisyen dijanjikan setelah bayaran dibuat dan sindiket dipercayai memperoleh keuntungan sebanyak RM54,000 sebulan,” katanya.

Tambah Md. Nazri, polis turut merampas pelbagai jenis barangan antaranya sebuah komputer riba, tujuh komputer meja dan 49 telefon bimbit dianggarkan bernilai kira-kira RM30,000.

“Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 11 Februari ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya